Polis kesan 'Datuk Yusri' kes tipu projek tidak wujud

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis Sabah sedang mengesan seorang lelaki bergelar 'Datuk Yusri' bagi menyiasat kes penipuan melibatkan projek naik taraf jalan raya yang tidak wujud di negeri ini dengan kerugian hampir RM2 juta.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, siasatan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Sabah berhubung lapan laporan yang dibuat berkaitan kes tersebut.

Menurutnya, individu tersebut telah memperdayakan mangsa dengan menawarkan projek naik taraf jalan raya yang tidak wujud di Sabah.

"Bagi mendapatkan projek ini, pengadu diminta membayar sejumlah wang deposit dan percaya dengan kata-katanya, mangsa telah membayar antara RM300,000 hingga RM650,000 di mana jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM1.93 juta," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya lagi, susulan daripada itu, polis sedang mencari lelaki dikenali sebagai 'Datuk Yusri' bagi membantu siasatan.

"Kerjasama daripada orang ramai amat diperlukan.

"Oleh itu, sesiapa yang mengenali atau mengetahui tempat tinggal lelaki berkenaan boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat Inspektor Tilmansah Wasli di talian 016-5785962 atau 088 529761," katanya.

Idris bekata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.