KWP arah DBKL tingkat penguatkuasaan pusat hiburan

Antara premis yang disita kerana melanggar syarat lesen DBKL.
Antara premis yang disita kerana melanggar syarat lesen DBKL.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mengarahkan agensi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meningkatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti perniagaan terutama premis hiburan dan aktiviti sosial di ibu kota.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, KWP dan DBKL telah merangka pelaksanaan tindakan mengikut garis panduan dan peruntukan undang-undang yang diguna pakai dengan kerjasama agensi sahabat penguatkuasaan lain.

Menurutnya, DBKL dengan kerjasama agensi sahabat seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah melaksanakan operasi bersepadu pada Ahad lalu bagi membanteras kegiatan haram.

Ujarnya, operasi itu menumpukan premis yang menjalankan aktiviti rumah urut, pelacuran yang melanggar syarat lesen serta lain-lain kesalahan di bawah agensi sahabat (salah guna visa pelawat/kesalahan syariah).

"Dalam operasi bersepadu ini, sebanyak empat premis telah dikenakan tindakan kompaun dan tutup serta-merta di bawah UUK 3(1), Undang-undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian WPKL 2016 kerana menjalankan aktiviti urut tanpa lesen serta aktiviti tidak bermoral (seks).

"Selain itu, turut disita 38 unit pelbagai peralatan berupa kondom, cecair pelincir serta peralatan CCTV. Kesemua premis ini ditutup di bawah Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya dalam kenyataan.

Jalaluddin berkata, sebanyak 73 premis yang dikesan menjalankan aktiviti tidak bermoral dan yang melanggar syarat lesen telah diperiksa oleh DBKl menerusi tindakan khas yang dijalankan pada tahun ini melibatkan 50 premis telah disita dan 52 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Tegasnya, pihak kementerian memandang serius ke atas pelanggaran syarat lesen yang dilakukan oleh pemilik premis dan aktiviti perniagaan.

"KWP mengingatkan kepada pemegang lesen supaya jangan terlalu mengambil mudah isu pelanggaran syarat lesen kerana boleh dibawa ke jawatankuasa bagi pembatalan lesen perniagaan.

"Kementerian akan meneruskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ini secara berterusan dari semasa ke semasa dengan kerjasama agensi sahabat," katanya.