Kenari kembali terbang tinggi di Bali

Ronald Ngah (kiri) Fayadh (dua dari kiri) dan Mahmoud (dua dari kanan) masing-masing mencetak nama selaku penjaring gol membantu KDA FC menewaskan Kaya FC 4-1. - Foto KDA FC
Ronald Ngah (kiri) Fayadh (dua dari kiri) dan Mahmoud (dua dari kanan) masing-masing mencetak nama selaku penjaring gol membantu KDA FC menewaskan Kaya FC 4-1. - Foto KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC menghidupkan peluang untuk mara pusingan kedua Piala AFC 2022 apabila menewaskan Kaya FC 4-1 pada aksi kedua Kumpulan G pada Isnin.

Tewas 2-0 kepada Bali United FC pada aksi sulung baru-baru ini, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak turun dengan misi mengutip tiga mata di Stadium Kapten I Wayan, Dipta.

Bagaimanapun, Sang Kenari dilihat kurang efektif pada separuh masa pertama kerana tiada sebarang gol dapat dijaringkan.

Namun gol yang dinanti-nantikan muncul menerusi Fayadh Zulkifli pada minit ke-57 apabila mudah menolak masuk bola hasil hantaran Ronald Ngah Wanja untuk meletakkan Sang Kenari di hadapan 1-0.

KDA FC terus menjarakkan keputusan kepada 2-0 apabila pemain import baharunya, Mahmoud Al-Mardi menjaringkan gol pada minit ke-63 juga menerusi hantaran Ronald Ngah.

Selepas menjadi watak utama kepada bantuan gol dua jaringan awal, Ronald Ngah akhirnya meledak gol peribadi untuk terus meletakkan KDA FC selesa 3-0 pada minit ke-83 hasil larian solo yang dilakukannya.

Kaya FC yang berusaha bangkit berjaya merapatkan jurang kepada 1-3 hasil jaringan menarik Javier Augustine Gayoso selang dua minit kemudian hasil kelekaan pertahanan Sang Kenari.

Fayadh melengkapkan malam gemilang KDA FC apabila menjaringkan gol keempat pada minit-minit akhir perlawanan untuk kedudukan penuh 4-1.

Wakil negara ini akan menghadapi perlawanan akhir bertemu pendahulu Kumpulan G, Visakha FC pada Khamis yang baharu sahaja menewaskan Bali United FC 5-2 pada sebelah petang Isnin untuk mengutip enam mata selepas dua perlawanan.

KDA FC kini berada di tangga ketiga Kumpulan G berkongsi tiga mata sama dengan Bali United FC yang berada di kedudukan kedua.