Peruntukan tambahan RM100 juta untuk SPIM TEKUN: Ismail Sabri

Ismail Sabri memberi ucapan perasmian ketika hadir pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Usahawan Tahun 2022 di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam ini.
 - Foto Bernama
Ismail Sabri memberi ucapan perasmian ketika hadir pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Usahawan Tahun 2022 di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin mengumumkan peruntukan tambahan RM100 juta bagi program Skim Pembiayaan Informal & Mikro (SPIM) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan RM30 juta bagi Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) di bawah SME Corporation Malaysia.

"Saya dimaklumkan SPIM di bawah TEKUN yang diperuntukkan oleh kerajaan sebanyak RM200 juta sebelum ini sudah habis dan peruntukan RM20 juta bagi BEEP untuk tahun 2022 juga telah habis.

"SPIM pinjaman yang popular untuk pembiayaan peniaga informal dan mikro...untuk kepentingan usahawan kecil, saya umumkan peruntukan RM100 juta lagi untuk SPIM.

"Saya umumkan juga peruntukan tambahan RM30 juta untuk BEEP," katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan Usahawan 2022 di sini malam ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sektor perniagaan dijangka terus menyumbang ke arah usaha pemulihan ekonomi negara, hasil pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan kerajaan.

Ismail Sabri bergambar bersama para pemenang selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Usahawan Tahun 2022 di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam ini.
 - Foto Bernama
Ismail Sabri bergambar bersama para pemenang selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Usahawan Tahun 2022 di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam ini.
 - Foto Bernama

Beliau berkata, pembangunan keusahawanan antara inti pati pelaburan terpenting bagi pembangunan sesebuah negara, selain menjadi teras kepada penciptaan daya inovasi dan transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi.

"Kerajaan terus bersedia membantu golongan usahawan melalui pelbagai inisiatif dan program yang akan dilaksanakan dengan mengambil kira perkembangan ekonomi semasa.

"Kerajaan akan terus menyokong pembangunan dan pertumbuhan sektor perniagaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) demi memastikan lebih ramai usahawan dapat dilahirkan serta banyak peluang pekerjaan diwujudkan," katanya.

Perdana Menteri berkata, sektor perniagaan terutamanya PMKS kekal signifikan kepada pengembangan ekonomi negara walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

"Prestasi perniagaan juga mencapai tahap lebih baik di mana terdapat peningkatan nilai jualan, permintaan, aliran tunai dan keperluan tenaga buruh," katanya.

Perdana Menteri turut menyeru usahawan supaya memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan untuk proses peralihan perniagaan konvensional kepada adaptasi teknologi dan digitalisasi.

Beliau berkata, perkembangan pesat digital ekonomi wajar dimanfaatkan untuk tujuan pengembangan perniagaan.

Ismail Sabri turut berharap Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menganjurkan lebih banyak lagi program dan inisiatif yang memberi manfaat kepada usahawan tempatan, selaras dengan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyampaikan 16 anugerah termasuk tiga anugerah utama iaitu Anugerah Perdana Menteri, Anugerah Menteri KUSKOP dan Anugerah Khas Usahawan Asnaf.

Anugerah Kecemerlangan Usahawan 2022 anjuran KUSKOP itu yang turut dihadiri Menterinya, Tan Sri Noh Omar adalah acara tahunan sebagai usaha mengiktiraf dan memperkasakan sektor perniagaan dan keusahawanan negara. - Bernama