Calon PM kesembilan: Tajuddin dakwa Ku Li 'dipermainkan' Zahid

Tengku Razaleigh Hamzah
Tengku Razaleigh Hamzah
A
A
A

PETALING JAYA - Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa bekas Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah 'dipermainkan' Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sewaktu parti memutuskan senarai nama calon Perdana Menteri untuk dihantar kepada Istana Negara, tahun lalu.

Jelas bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, apabila bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan pada Ogos 2021 susulan 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya, Ahmad Zahid melalui MKT parti didakwa mengemukakan namanya sendiri, Tengku Razaleigh dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.

Menurutnya, keputusan Ahmad Zahid sebagai ketua parti dibuat setelah Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ahli Parlimen mengemukakan senarai calon Perdana Menteri baharu kepada Istana Negara bagi menggantikan Muhyiddin.

Bagaimanapun, Tajuddin tidak menjelaskan bagaimana Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li 'dipermainkan' Ahmad Zahid susulan pendedahan nama Ahli Parlimen Gua Musang berkenaan sebagai salah satu daripada tiga calon Perdana Menteri daripada UMNO itu.

"Apabila Yang di-Pertuan Agong meminta tiap-tiap ahli Parlimen menghantar senarai nama calon Perdana Menteri pilihan masing-masing kepada Seri Paduka baginda.

"Zahid melalui MKT UMNO bertindak menyenaraikan Tengku Razaleigh, nama dia dan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri untuk dipersembahkan kepada Seri Paduka.

"Hakikatnya Zahid yang mahukan jawatan Perdana Menteri itu sampai Ku Li pun kena 'main'," dedahnya dalam satu sidang media khas di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Pada 18 Ogos 2021, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan hanya nama Ismail Sabri yang dinamakan sebagai calon Perdana Menteri kesembilan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Artikel Berkaitan:

Jelas Ahli Parlimen Pontian itu, keputusan itu dibuat setelah mendapat sokongan Ahmad Zahid, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli-ahli MKT UMNO.

Sebelum itu, di Menara Dato' Onn, telah berlangsung mesyuarat antara Ahli Parlimen BN bagi memutuskan calon Perdana Menteri yang perlu dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ismail Sabri kemudiannya disahkan menjadi Perdana Menteri sehingga kini setelah menerima sokongan 115 ahli Parlimen termasuk parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa ahli Parlimen bebas.

Mengulas lanjut, Tajuddin turut mendakwa 15 ahli Parlimen diketuai Ahmad Zahid yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebelum itu, pada mulanya enggan memberikan sokongan kepada Ismail Sabri untuk dilantik sebagai Perdana Menteri baharu dari UMNO-BN.

Jelasnya, keengganan kumpulan 15 ahli Parlimen UMNO itu menyokong Ismail Sabri sudah ditunjukkan lebih awal, iaitu apabila tiada ucapan tahniah diberikan kepada Ahli Parlimen Bera itu oleh Ahmad Zahid dan sebilangan ahli MKT setelah beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Tidak lama kemudian, selepas Muhyiddin meletak jawatan Perdana Menteri disebabkan 15 ahli Parlimen UMNO tarik sokongan, usaha kita melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu ada ceritanya...Tidak mudah macam itu sahaja.

"Apabila kita calonkan Ismail Sabri jadi calon Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin dan Pas pun setuju untuk tandatangan surat akuan bersumpah (SD) menyokong beliau.

"Namun, UMNO berpecah ketika itu. Ada yang setuju dan ada yang tidak setuju. Yang 15 ahli Parlimen UMNO tarik sokongan (terhadap Muhyiddin), sehingga saat akhir pun mereka tidak tandatangan (SD sokong Ismail Sabri)...Jangan mereka hendak nafikan," tegasnya lagi.