Kecemerlangan akademik, kokurikulum SMUA Meheliah

SMUA Meheliah Geting, Tumpat bukan sahaja cemerlang dalam akademik bahkan dalam bidang kokurikulum.
SMUA Meheliah Geting, Tumpat bukan sahaja cemerlang dalam akademik bahkan dalam bidang kokurikulum.
A
A
A

TUMPAT - Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Meheliah Geting, di sini bukan sahaja cemerlang akademik bahkan ia selari dalam bidang kokurikulum.

Ini terbukti apabila 24 daripada 143 pelajarnya memperoleh 5A ke atas dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang diumumkan baru-baru ini.

Pengetua, Mohamad Yusoff berkata, lebih membanggakan apabila salah seorang daripada calon SPM memperoleh keputusan 10A.

“Lain-lain keputusan, ada yang dapat 9A (empat orang), 8A (empat orang), 7A (tiga orang), 6A (tujuh orang) dan 5A (lima orang). Alhamdulillah, walaupun sebelum ini pelajar berdepan pelbagai kesukaran disebabkan pembelajaran dalam suasana Covid-19.

Seramai 24 daripada 143 pelajar SMUA Meheliah memperoleh 5A ke atas dalam peperiksaan SPM 2021 yang diumumkan
baru-baru ini.
Seramai 24 daripada 143 pelajar SMUA Meheliah memperoleh 5A ke atas dalam peperiksaan SPM 2021 yang diumumkan baru-baru ini.

“Ini membuktikan bahawa walaupun majoriti pelajar di sini terdiri daripada anak-anak nelayan, petani, buruh dan sebagainya, namun ia bukanlah penghalang untuk mereka berjaya, di samping kesungguhan para guru mengajar dan mendidik mereka tanpa mengenal penat dan lelah.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan guru-guru yang sentiasa mengambil berat tentang pembelajaran pelajar,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurut Mohamad, pelajar SMUA Meheliah mengamalkan bacaan al-Quran setiap pagi sebelum memulakan pembelajaran, selain menekankan solat berjemaah dan qiamullail.

Mohamad
Mohamad

Beliau berkata, selain itu kem solat, ceramah hari kebesaran Islam, kem kepimpinan dan banyak lagi turut diselitkan dalam merancakkan lagi pembangunan rohani dalam kalangan pelajar.

Katanya, dari segi kokurikulum pula pelajar digalakkan menyertai pelbagai acara sukan seperti bola sepak, bola tampar, badminton dan sebagainya.

Mohamad berkata, disebabkan itu pihak sekolah ingin menyediakan kemudahan yang selesa untuk para pelajar.

“Antara perancangan kami ialah membina dewan terbuka PIBG bernilai RM100,000, membaiki tandas serta kelas yang rosak.

Barisan pendidik SMUA Meheliah Geting, Tumpat.
Barisan pendidik SMUA Meheliah Geting, Tumpat.

“Semua ini bagi menceriakan sekolah di samping menarik minat pelajar untuk ke sekolah,” katanya.

Sehubungan itu, pihak sekolah memohon sumbangan orang ramai untuk membantu merealisasikan impian ini.

Katanya, sumbangan boleh disalurkan ke Tabung Pembangunan SMUA Meheliah Geting melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 0314 8010 0159 78 atau hubungi talian 017-920 9400.

Mohamad berkata, dengan sumbangan tersebut diharap dapat menceriakan dan memberi semangat kepada 950 pelajar tingkatan satu hingga enam untuk terus cemerlang.