Pulau Komodo ditutup Januari 2020
JAKARTA - INDONESIA. Indonesia akan menutup sebuah pulau yang menjadi habitat spesies terancam biawak komodo selepas ada pihak tidak bertanggungjawab menyeludup keluar haiwan tersebut.
Pulau Komodo di Manggarai Barat di wilayah Nusa Tenggara Timur akan ditutup kepada pelancong bermula Januari 2020.
Menurut jurucakap pentadbiran wilayah, Marius Jelamu, keputusan itu dibuat selepas berunding dengan Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan.
Penutupan itu adalah sebagai respons terhadap penyeludupan 41 biawak komodo dari pulau itu dan dijual di luar negara dengan harga kira-kira 500 juta rupiah (RM143, 347) seekor.
Difahamkan, hanya Pulau Komodo yang menjadi tarikan pelancong itu akan ditutup, namun kawasan sekitar pusat pemuliharaan itu masih beroperasi seperti biasa.
Penutupan sementara itu membolehkan pemuliharaan alam semula jadi lebih baik selain meningkatkan populasi haiwan terbabit. - Bloomberg