Nasib Greenwood diketahui September depan

Mason Greenwood
Mason Greenwood
A
A
A

NASIB penyerang Manchester United, Mason Greenwood dijangka diketahui September depan selepas Pihak Polis Manchester (GMP) bersetuju untuk membenarkan ikat jamin pemain itu disambung bagi tempoh tiga bulan lagi atas tuduhan rogol dan ugutan bunuh.

GMP ketika mengesahkan perkara itu memberitahu ikat jamin pemain berusia 20 tahun itu disambung selepas perbicaraan tertutup yang dibuat di Mahkamah Majistret Salford dan Manchester Khamis lalu.

“Sambungan ikat jamin tidak akan memberi kesan terhadap proses siasatan, jadi Polis Manchester tidak akan membuat ulasan lanjut berhubung kes ini sehingga suspek didakwa atau dibebaskan,” kata jurucakap GMP.

Untuk rekod, Greenwood ditahan pada Januari lalu selepas gambar dan rakaman video yang menunjukkan imej pelajar berusia 18 tahun dicederakan olehnya, sekali gus menyebabkan dia digantung oleh United.

Susulan insiden tersebut, Greenwood tidak lagi dibenarkan untuk kembali menjalani latihan di Carrington meskipun beberapa pemain sudah mula melapor diri menjelang aksi pramusim sebagai persiapan menjelang musim depan.

Sebutan semula kes dijangka dibuat awal September depan, namun difahamkan pihak pendakwaan mungkin akan membuat keputusan sama ada untuk meneruskan tuduhan ke atas Greenwood ataupun menggugurkan siasatan.

Bagaimanapun, terdapat beberapa laporan media memberitahu, penyerang tersebut mungkin akan dibebaskan dalam masa terdekat dan tidak akan didakwa atas tuduhan yang dibuat ke atasnya.