Greenwood dibebaskan dengan ikat jamin

Mason Greenwood - Foto AFP
Mason Greenwood - Foto AFP
A
A
A

MASON Greenwood dibebaskan dengan ikat jamin selepas penyerang Manchester United itu disoal siasat berhubung dakwaan merogol dan menyerang seorang wanita muda, kata polis pada Rabu

Bintang muda The Red Devils berusia 20 tahun itu ditahan pada Ahad selepas gambar dan videonya tersebar di media sosial dan ketika dia masih dalam tahanan pada Selasa, dia terus ditangkap kerana disyaki melakukan serangan seksual dan ugutan membunuh.

Polis Greater Manchester tidak menamakan pemain bola sepak itu, namun berkata: “Seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan pada Ahad 30 Januari kerana disyaki merogol dan menyerang seorang wanita telah dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu siasatan lanjut".

Sebelum ini, Manchester United mengeluarkan kenyataan mengatakan Greenwood tidak akan bermain atau berlatih dengan pasukan sehingga ke satu tarikh yang dimaklumkan.

Berikutan perkembangan terkini itu, The Red Devils sekali lagi mengekalkan pendirian sama apabila berkata: "Manchester United mengulangi kecaman kerasnya terhadap sebarang bentuk keganasan".

“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, Mason Greenwood tidak akan berlatih dengan, atau bermain untuk kelab itu sehingga diberitahu kelak," kata kenyataan itu.

Terdahulu syarikat gergasi pakaian sukan Nike berkata, ia telah menangguhkan perjanjiannya dengan pemain tersebut manakala syarikat permainan video Electronic Arts memaklumkan pemain berkenaan telah dialih keluar daripada mod luar talian dalam FIFA 22.

Untuk rekod, Greenwood yang membuat penampilan sulung bersama Manchester United pada 2019 telah membuat 129 penampilan dan menjaringkan 35 gol.

Artikel Berkaitan:

Greenwood menandatangani perjanjian baharu pada Februari 2021 yang menyaksikan dia kekal di Old Trafford sehingga sekurang-kurangnya 2025.