Sila log masuk terlebih dahulu.

Kawasan risiko bencana akan dilengkapi sistem amaran awal

Takiyuddin (empat dari kanan) mendengar taklimat semasa hadir ke lokasi tragedi kepala air Titi Hayun Yan Kedah pada Ahad.
Takiyuddin (empat dari kanan) mendengar taklimat semasa hadir ke lokasi tragedi kepala air Titi Hayun Yan Kedah pada Ahad.
A
A
A

YAN - Kawasan berisiko bencana di seluruh negara bakal dilengkapi sistem amaran awal (EWS) sebagai persediaan berdepan tragedi sekali gus mengelakkan kehilangan nyawa dan harta benda.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah tersebut perlu diambil bagi mengelakkan kerosakan yang berlaku di kawasan bencana seperti tragedi kepala air Titi Hayun, berulang termasuk di kawasan berisiko lain.

"Kerajaan perlu mengambil langkah penyelesaian, pada masa sama mengelakkan risiko perkara seumpama ini berulang di kawasan ini (Jerai Geopark) atau kawasan lain yang berisiko di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Program Kesedaran Sistem Amaran Awal Aliran Puing bersama Komuniti Jerai Geopark di Titi Hayun di sini pada Ahad.

Hadir sama, Exco Industri, Pelaburan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Pengajian Kedah, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail dan Exco Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Kedah, Dr Robert Ling Kui Ee.

Jelasnya, sistem amaran awal ini dibina bukan sahaja di Jerai Geopark, namun kawasan lain yang turut dikenal pasti risiko berlaku bencana.

Takiyuddin (tengah) ketika meninjau Menara Sistem Amaran Awal di lokasi tragedi kepala air Titi Hayun, Yan pada Ahad.
Takiyuddin (tengah) ketika meninjau Menara Sistem Amaran Awal di lokasi tragedi kepala air Titi Hayun, Yan pada Ahad.

"Tadi saya mendengar taklimat bahawa sebelum ini, di Sabah misalnya telah berlaku bencana alam yang teruk pada tahun 1996 yang menyebabkan ratusan nyawa telah hilang.

Artikel Berkaitan:

"...malahan di Lembah Klang pun banyak berlaku tanah runtuh dan sebagainya..

"Jadi kita tidak mahu perkara ini akan berlaku lagi dalam negara kita demi untuk kesejahteraan dan juga keselamatan rakyat kita," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan lokasi yang akan dilengkapi dengan sistem amaran awal, namun memberitahu ia bergantung kepada keperluan seperti digariskan Jabatan Mineral dan Geosains.

"Misalnya ada satu tempat yang pihak pakar beritahu ada risiko dan sebagainya, mungkin itu akan menjadi keutaman kita," katanya.

Beliau dalam masa turut berada di lokasi ketika sistem amaran awal tersebut diuji bagi mengesan tahap pengoperasian dan pelaksanaannya merangkumi radius sehingga 1,500 meter.

Dalam program sama, Takiyuddin turut menyertai penanaman pokok sempena Kempen Penanaman 100 juta pokok di Titi Hayun.

Dalam kejadian tagedi kepala air Gunung Jerai 18 Ogos lalu, enam nyawa terkorban dan lebih 1,000 keluarga terjejas di daerah Kuala Muda dan Yan setelah rumah kediaman dipenuhi banjir lumpur dan dilanda sisa batang pokok akibat arus deras dari kawasan Gunung Jerai.