Polis terima satu lagi laporan berkait pengasas Dnars

Allahyarham Faziani
Allahyarham Faziani
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan menerima satu lagi laporan yang dibuat oleh ahli keluarga pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad pada Khamis lalu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, laporan itu dibuat berkaitan dengan kecurigaan pihak keluarga terhadap satu resolusi menukar nama salah satu syarikat milik Allahyarham.

"Kita akan buat siasatan lanjut dengan mendapatkan dokumen tertentu untuk mengenal pasti sama ada tandatangan yang diturunkan itu sah atau sebaliknya," katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini pada Ahad.

Muhamad Zaki berkata, siasatan itu akan dilakukan serentak dengan laporan sebelum ini di bawah Jabatan Jenayah Komersial dan dibantu oleh Jabatan Siasatan Jenayah.

Muhamad Zaki (dua dari kiri) semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Kota Bharu pada Ahad.
Muhamad Zaki (dua dari kiri) semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Kota Bharu pada Ahad.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian pada 16 Jun lalu melaporkan ahli keluarga kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare tampil membuat laporan polis menuntut siasatan lebih lanjut dilakukan berhubung kematian Allahyarham Faziani Rohban Ahmad yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand pada 18 Mei 2019.

Ahli keluarganya berkata, laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Tumpat pada jam 1 petang selepas mengesyaki ada unsur lain berkait dengan kematian Allahyarhamah.

Keluarga Allahyarham turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan kerana mendakwa urusan membawa pulang jenazah usahawan kosmetik itu ke negara ini tidak mengikut tatacara yang sah.