Yusri lega, hutang mata Perak FC berjaya dilangsaikan

Yusri
Yusri
A
A
A

PENGENDALI Perak FC, Yusri Che Lah nyata lega apabila pasukannya berjaya melunaskan baki hutang tiga mata yang dikenakan oleh First Instance Body (FIB) sebelum ini selepas meraih kemenangan sensasi 1-0 ke atas Kelantan United FC dalam perlawanan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Sabtu.

Menurut Yusri, kemenangan tersebut disifatkan sebagai permulaan yang baik selepas sebelum ini pasukannya terpaksa berhadapan detik sukar akibat keadaan tidak menentu yang berlaku dalam pengurusan pasukan The Bos Gaurus.

Beliau berharap kemenangan yang diraih ke atas Kelantan itu mampu untuk menjadi pencetus semangat bagi anak buahnya meneruskan momentum kemenangan pada perlawanan akan datang sekali gus mencerahkan peluang mereka untuk kekal beraksi di liga Premier musim hadapan.

“Kami bersyukur kerana kemenangan malam ini membolehkan kami melangsaikan baki hutang tiga mata yang dikenakan kepada pasukan oleh First Instance Body (FIB). Akhirnya hutang itu berjaya dipadamkan.

“Jadi saya harap kemenangan ini mampu untuk menjadi pembakar semangat buat para pemain.

“Ini adalah 'turning point' untuk Perak FC dan kami akan bermula daripada kosong mata. Jadi selepas ini kami perlu berusaha lebih keras untuk menang dan mengumpul mata berharga supaya sekurang-kurangnya kekal dalam Liga Premier musim depan,” katanya.

Gol penghujung babak perlawanan Luciano Guaychochea pada minit ke-87 sudah cukup membolehkan skuad kendalian Yusri Che Lah itu melakar kemenangan ketiga liga selepas mengharungi 10 perlawanan.

Kemenangan di laman lawan itu sekali gus menyaksikan The Bos Gaurus berjaya membayar hutang pemotongan mata yang dikenakan FIB bermula pada 1 April lalu dengan penolakan tiga mata, diikuti dua minggu berikutnya enam mata.

Tindakan yang dikenakan FIB itu susulan kegagalan Perak FC menjelaskan pembayaran baki tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama serta Reserve Team sebelum ini.

Dalam pada itu, Yusri memuji aksi yang ditampilkan tiga pemain import baharunya iaitu Guaycochea, Sunday Kolawale dan Stipe Plazibat yang beraksi cemerlang pada perlawanan itu.

Jelas Yusri, walaupun hanya beberapa hari menjalani latihan bersama Perak, mereka tidak kekok untuk menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan yang lain.

“Pada awalnya saya agak risau untuk menurunkan pemain import pada perlawanan ini kerana mereka baru dua hari berada di Malaysia dan masih kepenatan selepas melalui perjalanan panjang hampir 40 jam.

“Apapun saya harus memuji aksi yang ditampilkan yang menyumbang kepada kemenangan pasukan malam ini,” katanya.