ECRL tetap diteruskan meski kerajaan bertukar

Mustapa (kanan) menanam pokok payau bakau semasa merasmikan Pelancaran Inisiatif Pucuk Hijau UMW di Pantai Sri Tujoh Beach Resort, Tumpat pada Sabtu.
Mustapa (kanan) menanam pokok payau bakau semasa merasmikan Pelancaran Inisiatif Pucuk Hijau UMW di Pantai Sri Tujoh Beach Resort, Tumpat pada Sabtu.
A
A
A

TUMPAT - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tetap akan diteruskan meski berlaku pertukaran kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia merupakan janji yang telah dibuat oleh kerajaan kepada rakyat.

"Selain itu ia turut melibatkan perjanjian antara kerajaan dengan syarikat dari China termasuk bank-bank di negara berkenaan.

"Projek tersebut sudah mencapai tahap kemajuan kerja sebanyak 30 peratus," katanya selepas diminta mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong yang mahu ECRL diteruskan walaupun kerajaan bertukar pada PRU15.

Mustapa sebelum itu merasmikan Pelancaran Inisiatif Pucuk Hijau UMW di Pantai Sri Tujoh Beach Resort, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, sekiranya dibatalkan kerajaan perlu membayar pampasan dan lain-lain berkait dengan projek tersebut.

Beliau berkata, rakyat tidak perlu bimbang dengan perkara tersebut.

Media pada Khamis melaporkan Ka Siong berkata, tiada lagi perubahan kepada ECRL walaupun kerajaan baharu dipilih.