Masjid Al-Aqsa berisiko runtuh

Projek penggalian tersebut dipergiatkan sejak beberapa minggu lalu. - Foto Agensi
Projek penggalian tersebut dipergiatkan sejak beberapa minggu lalu. - Foto Agensi
A
A
A

BAITULMAQDIS - Masjid al-Aqsa berisiko runtuh disebabkan kerja penggalian yang giat dilakukan Israel menyebabkan kesan retak dan kerosakan pada struktur bersejarah tersebut.

Amaran tersebut diberikan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Islam dan Hal Ehwal al-Aqsa, Azzam al-Khatib selepas projek berkenaan dijalankan di masjid ketiga paling suci itu sejak beberapa minggu lalu.

"Terdapat kerja penggalian berbahaya dan tidak diketahui. Tiada siapa tahu apa tujuan dan matlamat sebenar mereka. Kami hanya dapat melihat impak pada struktur.

"Getaran kuat yang berlaku juga menyebabkan runtuhan daripada siling di ruang solat di bahagian selatan," ujarnya sambil menambah projek tersebut semakin dipergiatkan sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, pihak berkuasa rejim Zionis tidak menghiraukan permintaan mereka untuk membenarkan jurutera khas dan juruteknik melakukan pemeriksaan tentang 'projek rahsia' tersebut yang berlaku tidak kira masa pada waktu siang serta malam.

"Kami benar-benar bimbang jika mereka membina terowong yang boleh meruntuhkan al-Aqsa. Kami telah maklumkan kepada Mahkamah Diraja Jordan dan penjaga masjid suci ini, Raja Abdullah II.

"Saya sudah meminta kebenaran polis Israel untuk membaiki dinding yang retak, namun mereka tidak membenarkannya. Kami tidak tahu projek apa yang sedang dilakukan mereka. Saya hanya melaksanakan amanah yang diberikan untuk memelihara kesucian al-Aqsa," katanya lagi dalam nada kesal. - Agensi