KBS, KPM kerjasama manfaat fasiliti sukan sekolah

Ahmad Faizal memeriksa barisan Rumah Sukan ketika merasmikan Temasya Sukan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan pada Sabtu.
Ahmad Faizal memeriksa barisan Rumah Sukan ketika merasmikan Temasya Sukan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan pada Sabtu.
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan akan bekerjasama untuk memanfaatkan fasiliti sukan yang ada di sekolah bagi penganjuran program kementerian tersebut.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, banyak fasiliti sukan di sekolah-sekolah yang berada dalam keadaan baik dan kemudahan itu boleh digunakan bersama oleh orang ramai menerusi program-program sukan yang dirancang.

"Sebenarnya buat masa ini, banyak fasiliti yang berada dalam keadaan baik. Jadi saya telah berhubung dengan pihak Kementerian Pendidikan untuk dibuka fasiliti sukan terutama di sekolah-sekolah bagi diguna oleh orang ramai melalui program-program anjuran KBS seperti Malaysia Sports League dan juga Seribu Liga yang akan bermula pada tahun ini.

"Jadi saya ucap terima kasih atas kerjasama baik yang diberikan oleh pihak Kementerian Pendidikan dan juga sekolah-sekolah di seluruh negara bagi memastikan rakyat kita terus kekal cergas serta aktif," katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Temasya Sukan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan di padang sekolah berkenaan, di sini pada Sabtu.

Ahmad Faizal berkata, kerjasama antara kementerian itu amat dialu-alukan dan boleh ditambah baik pada masa akan datang.

Menurutnya, melalui kerjasama itu juga merupakan usaha membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara bersukan.