Isu harga ayam: UMNO cadang kerajaan wujudkan Lembaga Unggas Negara

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO menggesa kerajaan segera menangani isu kenaikan harga barangan makanan asas rakyat termasuk ayam dengan mengambil pendekatan yang holistik, bersepadu dan berkesan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, untuk itu kerajaan diminta mempertimbangkan cadangan mewujudkan Lembaga Unggas Negara bagi menangani isu harga ayam secara menyeluruh.

“Ini agar isu ayam dilihat secara menyeluruh dari aspek pengeluaran anak ayam, kos penternakan dan kos dedak agar tidak mudah dimanipulasi oleh pihak kartel berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada Jumaat.

Ahmad Maslan berkata, mesyuarat dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu turut meminta kerajaan agar tidak sewenang-wenangnya menarik balik subsidi diberikan hanya kerana kelemahan penguatkuasaan.

Katanya, UMNO juga meminta kerajaan agar memastikan subsidi bersasar direncanakan kerajaan diterima oleh golongan rakyat terbanyak yang ketika ini tertekan akibat kenaikan tekanan kos sara hidup.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan berkata, mesyuarat turut memutuskan agar jentera pilihan raya UMNO di semua peringkat digemblengkan bersama dengan parti komponen di bawah Barisan Nasional (BN) agar tahap kesiapsiagaan jentera berada pada tahap tertinggi.

Pada masa sama, beliau berkata, MKT turut memberikan penegasan berkaitan keperluan pembentangan Akta Anti Lompat Parti dibentang segera di Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.

“Akta Pendanaan Politik juga perlu diwujudkan agar garis panduan yang jelas mengenai kewangan parti dapat diadakan,” katanya.