Devan tidak goyang, yakin Negeri Sembilan kembali raih tiga mata

Devan
Devan
A
A
A

TIDAK berhasil meledak sebarang jaringan dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super oleh barisan pemain Negeri Sembilan FC ternyata bukan satu keresahan buat ketua jurulatihnya, K Devan.

Malah, beliau kekal meletakkan kepercayaan terhadap barisan penyerang skuadnya untuk menamatkan kemarau gol sekali gus kembali meraih tiga mata menentang Sri Pahang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam esok.

Devan menjelaskan, mereka banyak menjana peluang dalam ketiga-tiga perlawanan terakhir tersebut, namun dihampakan menerusi sentuhan penyudah pasukan lawan.

"Hanya sentuhan penyudah tidak menjadi. Kami sedang pertingkatkan aspek ini semasa sesi latihan.

"Jika barisan hadapan tidak mampu menjana peluang, itu yang saya akan lebih risaukan tetapi saya yakin barisan pemain mampu menjaringkan gol semasa aksi seterusnya berdepan Sri Pahang," katanya pada Jumaat.

Tiga perlawanan terakhir Negeri Sembilan menyaksikan mereka seri tanpa jaringan bertemu Melaka United serta Kedah Darul Aman (KDA) FC dan tewas 0-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).

Sementara itu, pengendali Penang FC, Zainal Abidin Hassan berpuas hati dengan aksi barisan pemainnya terutama Hilal El-Helwe dan Endrick dos Santos yang membantu pasukan itu untuk menang 2-1 ke atas Terengganu FC, meskipun tanpa khidmat penyerang utama Casagrande yang dilanda kecederaan.

Zainal Abidin berkata, beliau tetap memastikan bahagian hadapan Penang tetap berbisa dalam memburu jaringan meskipun ketiadaan penyerang dari Brazil itu yang mengalami retak tulang pipi kanan dan sedikit sebanyak memberi impak kepada pasukan.

"Memang saya kena teliti setiap pemain pada saat-saat akhir apabila kita kehilangan Casagrande dan di sini kita terpaksa ubah khususnya di bahagian serangan.

"Ini kerana kita ada begitu banyak pemain yang deras berlari, tetapi untuk perlawanan ini selepas tiada Casagrande, saya terpaksa buat keputusan untuk (senaraikan) Endrick dan Hilal. Alhamdulillah mereka berjaya menjalankan tugas malam ini (Rabu)," katanya.

Kemenangan Penang FC meletakkan skuad Harimau Kumbang di tangga ke-11 Liga Super dan Terengganu FC di kedudukan ketujuh. - Bernama