TSC pamer permulaan meyakinkan di Perak

Nur Aiman
Nur Aiman
A
A
A

PASUKAN benua ternama Sapura Cycling Team (TSC) memulakan saingan Kejuaraan Lebuhraya Berbasikal Kebangsaan 2022 di Manong, Perak dengan cemerlang apabila pelumbanya Muhammad Nur Aiman Rosli muncul juara ujian masa perseorangan (ITT).

Pelumba berusia 23 tahun itu mencatat 47 minit 33.244 saat (s) dalam perlumbaan sejauh 36.8 kilometer (km) dari Manong ke Seri Iskandar itu, sekali gus melayakkannya menyarung jersi kebangsaan.

Seorang lagi pelumba TSC Muhammad Shaiful Adlan Shukri melengkapkan detik manis kelab berkenaan apabila menduduki tempat kedua dengan catatan masa 47:58.794s.

Sementara itu, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff yang juga merupakan pemenang pingat emas acara lebuh raya lelaki di Sukan SEA Hanoi 2021, Vietnam baru-baru ini, sekadar menduduki tempat ketiga apabila ketinggalan 1:00.014s daripada Muhammad Nur Aiman.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab menyifatkan persaingan sengit antara TSC dan TSG sebagai satu perkembangan yang amat positif kepada sukan berbasikal di negara ini.

"Secara tidak langsung, mereka akan sentiasa bekerja keras untuk saling mengejar gelaran juara kebangsaan. Tahniah saya ucapkan kepada semua pasukan yang menjayakan Kejohanan Lebuhraya Berbasikal Kebangsaan 2022.

"Saya berharap semua pelumba akan menunjukkan kayuhan yang baik untuk mencari tiket ke Sukan SEA 2023 di Kemboja," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam kategori ITT elit wanita, wakil Johor A, Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad berjaya menyarung jersi kebangsaan selepas mendominasi acara berkenaan dengan merekodkan 55:31.293s.

Pelumba Perak, Tahira Najmunissa Muhammad Zaid melakukan kejutan dengan menduduki tempat kedua apabila mencatat masa 58:59.898s, manakala pelumba Terengganu A, Siti Nur Alia Mansor terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan catatan 59:06.883s. - BERNAMA