Sila log masuk terlebih dahulu.

Tarif elektrik, air kekal, harga ayam tidak diapungkan

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung tidak akan dinaikkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan turut memutuskan harga ayam di pasaran juga tidak akan diapungkan.

Menurutnya, keputusan itu membuktikan keprihatinan kerajaan demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia agar tidak terbeban dengan peningkatan harga dan cabaran kos sara hidup.

"Dengan keputusan ini kerajaan terus komited menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion, meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api dan penjanaan lain," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, harga siling baharu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan skim harga maksimum ayam berakhir pada 30 Jun ini dan harga komoditi itu akan diapungkan serta ditentukan oleh pasaran.

Spekulasi tarif elektrik akan dinaikkan pula bertiup kencang apabila Tenaga Nasional Bhd (TNB) dilapor menghadapi kos pengeluaran tenaga yang lebih tinggi berikutan kenaikan harga gas dan arang batu.

Pada akhir tahun lalu, harga arang batu melonjak kepada AS$200 (RM846) setan, meningkat daripada sekitar AS$50 satu tan pada pertengahan tahun 2020.

Artikel Berkaitan:

Menjelang akhir Mei 2022, harga arang batu telah meningkat kepada AS$434 satu tan dengan arang batu menyumbang 59 peratus daripada sumber utama penjanaan elektrik Malaysia.

Sebelum ini juga terdapat ura-ura mengatakan tarif air akan dinaikkan ekoran kekangan yang terpaksa ditanggung oleh operator di setiap negeri dalam memenuhi keperluan sebagai penyedia perkhidmatan pembekalan air.

Menurut laporan media, berdasarkan situasi semasa, kos operasi bagi menyediakan perkhidmatan pembekalan air telah meningkat ketara, sedangkan ada tarif air bagi sesetengah operator yang tidak pernah disemak sejak 25 tahun lalu.