Semakan elaun Lembaga Pengarah FGV wajar: Felda

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Semakan elaun Lembaga Pengarah semasa Mesyuarat Agung Tahunan FGV Holdings Berhad (FGV) adalah wajar kerana ia tidak pernah disemak sekian lama.

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam kenyataan berkata, ia juga sejajar dengan prestasi syarikat yang mencatatkan pencapaian terbaik pada tahun 2021 di mana FGV memperoleh keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.175 bilion.

Menurut kenyataan, imbuhan itu juga disifatkan wajar setelah dikaji perunding luar secara perbandingan dengan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat tersenarai dengan modal pasaran setaraf FGV sebagai penanda aras.

“Semakan ini juga merangkumi elaun pengerusi dan turut melibatkan elaun kereta yang hanya diklasifikasikan semula kepada yuran pengarah.

“Perubahan ini bersesuaian dengan tanggungjawab Lembaga Pengarah untuk menguruskan syarikat tersenarai yang bermodal pasaran cukup besar seperti FGV,” katanya pada Jumaat.

Pada Khamis, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyelar Mesyuarat Agung Tahunan FGV yang didakwa fokus meluluskan usul membayar elaun mereka sahaja dan bukan membincangkan kepentingan peneroka.

Menurut Hassan, tindakan itu dianggap satu pengkhianatan kepada peneroka dan sepatutnya mesyuarat berkenaan perlu menumpukan untuk memberi penyelesaian terhadap masalah hutang, pendapatan yang tidak terjamin, pembangunan kebun dan tanam semula dihadapi peneroka.

Selain itu, pemegang saham selain Felda juga telah menyokong kenaikan imbuhan tersebut semasa Mesyuarat Agung Tahunan yang baru sahaja selesai sebagai tanda kewajaran semakan itu.

FGV Holdings Berhad
FGV Holdings Berhad

“Untuk rekod, Felda sebelum ini pernah menolak resolusi bayaran yuran Pengarah FGV pada 2019 apabila syarikat itu tidak mencatatkan keuntungan. Ini jelas membuktikan komitmen Felda dalam melindungi kepentingannya sebagai pemegang saham utama.

“Kepentingan peneroka dan generasi baharu sentiasa dibincangkan di peringkat Felda dan kekal sebagai agenda utama kami. Walaupun FGV tidak berurusan secara langsung dengan peneroka, kejayaan FGV adalah juga kejayaan Felda dan peneroka,” ujarnya.

Felda sebagai pemegang saham terbesar FGV akan terus menerima manfaat daripada pencapaian FGV yang terbaik setakat ini hasil daripada penstrukturan korporat yang telah dilaksanakan selama ini.

Jelasnya, Felda akan terus memastikan FGV beroperasi secara cemerlang berdasarkan pengurusan yang terbaik dengan pulangan yang optimum untuk menjaga kepentingan peneroka dan generasi baharu.

“FGV, sebagai sebuah syarikat yang tersenarai di pasaran utama Bursa Malaysia memerlukan ahli lembaga pengarah berpengalaman dan mahir yang bertanggungjawab merangka strategi pertumbuhan mampan serta memacu syarikat ke arah kecemerlangan untuk manfaat Felda dan pemegang taruhnya.

“Oleh itu, Felda akan memberikan sokongan yang sewajarnya kepada dasar-dasar, cadangan dan perancangan daripada FGV berdasarkan jaminan bahawa pencapaian syarikat itu mesti terus dipertingkatkan,” katanya.