Jadikan halal pilihan utama anda

A
A
A

Rosol (kiri) bersama Hairol Ariffein (dua dari kanan) Kenneth Chuah (kanan) melancarkan Kempen Inisiatif Bajet 2022, Jadikan Halal Pilihan Utama Anda yang diadakan di Lotus's Ampang. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Rosol (kiri) bersama Hairol Ariffein (dua dari kanan) Kenneth Chuah (kanan) melancarkan Kempen Inisiatif Bajet 2022, Jadikan Halal Pilihan Utama Anda yang diadakan di Lotus's Ampang. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

AMPANG - Lotus's Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus's Malaysia) bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) menerusi kempen 'Jadikan Halal Pilihan Utama Anda' bertujuan meningkatkan kebolehpasaran produk halal buatan tempatan.

Kempen yang berlangsung di bawah Inisiatif Bajet 2022 bermula April hingga Julai ini bertujuan menarik minat dan menggalakkan pengguna untuk memilih produk tempatan halal yang dihasilkan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengguna boleh membuat pilihan dan mendapatkan sebanyak 389 barangan runcit makanan dan bukan makanan daripada 71 rakan kongsi PKS di semua cawangan Lotus's di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, inisiatif yang dilakukan oleh Lotus's dan HDC itu merupakan satu langkah progresif yang akan dapat membantu mempercepatkan pengembangan industri peruncitan halal negara.

"Saya berharap menerusi aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang kempen ini termasuk pensampelan produk, promosi harga, serta pengiklanan di media cetak dan sosial dapat membantu PMKS halal tempatan untuk lebih pantas berkembang.

Rosol melihat produk PKS yang terdapat di Lotus's Ampang ketika melawat tapak pameran. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Rosol melihat produk PKS yang terdapat di Lotus's Ampang ketika melawat tapak pameran. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

"Saya melihat inisiatif murni ini adalah selaras dengan usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mempromosikan produk keluaran tempatan melalui Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Citarasa Malaysia.

"Kempen membeli produk halal juga sebagai salah satu elemen untuk mempromosi produk Buatan Malaysia dan boleh menjadi tarikan kepada pengguna, bukan sahaja yang beragama Islam tetapi juga yang bukan Islam," katanya dalam ucapan perasmian kempen tersebut di Pasaraya Lotus's Ampang di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Presiden Lotus's Malaysia, Kenneth Chuah dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari.

Rosol
Rosol

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan usaha Lotus’s dan HDC ini juga amat tepat pada masanya ketika impak pandemik Covid-19 memberi gangguan kepada jualan dan pasaran produk halal.

Beliau berkata, kempen tersebut dapat menjadi sokongan buat PKS halal di negara ini untuk lebih menonjol dalam rangkaian pemasaran sama ada secara konvensional mahupun atas talian.

"Pemasaran produk halal tempatan melalui pasar raya rangkaian antarabangsa seperti Lotus’s dilihat dapat meningkatkan jumlah jualan produk tempatan kerana kesedaran pengguna terhadap kepentingan mengutamakan produk halal di Malaysia telah meningkat.

"Langkah ini juga diyakini akan dapat membantu mengurangkan jurang prestasi jualan dan permintaan produk halal tempatan berbanding produk halal keluaran produk halal dari luar negara.

"Sebagai sebuah syarikat peneraju bidang peruncitan dalam negara, Lotus’s memainkan peranan yang penting dalam usaha membuka peluang perniagaan kepada usahawan syarikat pembekal halal PKS tempatan. Terima kasih kepada Lotus’s kerana komited membantu dalam menjayakan usaha ini," katanya.

Produk berkualiti

Kenneth Chuah
Kenneth Chuah

Dalam pada itu, Kenneth Chuah berkata, faktor halal yang merangkumi kualiti sesuatu barang menjadi elemen utama yang mempengaruhi pilihan pengguna.

Menurutnya, Lotus’s juga yakin terhadap keupayaan dan kualiti pengeluar PKS tempatan kerana 90 peratus daripada 3,000 produk berjenama di pasar raya itu diperolehi dan dihasilkan di negara ini.

"Barangan jenama Lotus’s seperti produk makanan dan penjagaan mulut diperakui halal sepenuhnya.

"Walaupun peruncit seperti Lotus’s terus menjadi platform bagi PKS untuk memajukan perniagaan mereka, ia juga penting untuk pengeluar tempatan melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dan keupayaan untuk menghasilkan produk yang berkualiti dan kompetitif bagi membantu mereka membina semula dan mengekalkan perniagaan selepas kesan pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata, sebagai sokongan kepada kempen ini, Lotus’s turut menjalankan inisiatif seperti tawaran produk, komunikasi dalam stor, promosi dalam platform media dan sampel produk untuk menggalakkan pelanggan membeli-belah di stor Lotus’s atau di dalam talian untuk memperoleh pelbagai rangkaian produk halal.

Hairol Ariffein
Hairol Ariffein

Sementara itu, Hairol Ariffein berharap kempen tersebut dapat memupuk pengguna mengutamakan produk halal dalam kehidupan seharian mereka.

"Kami juga berharap kempen ini dapat menarik minat PKS di luar sana untuk menjadikan Halal sebagai satu ‘value proposition’ atau nilai tambah kepada aktiviti perniagaan masing- masing," katanya.