X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Jason Lo bebas tuduhan dadah

Jason Lo (tiga dari kiri) bersama rakan dan peguamnya di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat selepas dibebaskan daripada pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badan di IPD Brickfields, tiga tahun lalu.
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat membebaskan penyanyi, Jason Lo atas pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badan, tiga tahun lalu.

Majistret Mohamad Fared Abdul Latif membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat telekomunikasi tempatan itu atau nama sebenar Jason Jonathan Lo.

Semasa prosiding untuk keputusan kes di akhir kes pendakwaan, Mohamad Fared berkata, keputusan ini adalah berdasarkan penelitian yang maksimum, membabitkan kenyataan saksi-saksi pendakwaan serta eksibit yang telah dikemukakan, termasuk hujahan kedua-dua pihak.

“Mahkamah melepas dan membebaskan kamu daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri dan wang jaminan RM2,500 dikembalikan.

“Alasan penghakiman akan disediakan pada atau sebelum 30 Jun ini,” katanya.

Selepas prosiding, Jason Lo yang juga seorang ahli perniagaan memeluk rakannya yang berada di galeri awam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diana Mohamad Saad manakala Jason Lo diwakili peguam, Datuk Hariharan Tara Singh.

Perbicaraan kes itu bermula pada 6 April 2021 dengan pendakwaan memanggil tujuh saksi untuk memberi keterangan antaranya pegawai penyiasat, pegawai kimia dan pegawai yang menjalankan saringan air kencing.

Pada 13 Mei lalu, pihak pendakwaan telah menutup kesnya.

Pada 18 November 2019, Jason Lo, 47, yang juga penyampai radio, didakwa atas satu pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badan iaitu tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang.

Kesalahan didakwa dilakukan di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada jam 5.15 petang, 15 November 2019.

Ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan diwajibkan pengawasan di bawah seliaan pegawai pemulihan antara dua hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Jason Lo melahirkan rasa syukur terhadap keputusan tersebut.

"Saya berterima kasih kepada peguam bela dan saya sentiasa percaya dengan badan kehakiman dalam menentukan perkara yang benar," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!