Ramai buat laporan palsu elak denda MyKad hilang

IPD Gombak merekodkan sebanyak 73 kes laporan palsu melibatkan pelbagai alasan bagi tempoh Januari hingga Jumaat. (Gambar keil: Zainal Mohamed)
IPD Gombak merekodkan sebanyak 73 kes laporan palsu melibatkan pelbagai alasan bagi tempoh Januari hingga Jumaat. (Gambar keil: Zainal Mohamed)
A
A
A

GOMBAK - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak merekodkan sebanyak 73 kes laporan palsu melibatkan pelbagai alasan bagi tempoh Januari hingga Jumaat.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, sebanyak 71 kes telah didakwa di mahkamah manakala dua lagi masih dalam siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

“Kebanyakan individu membuat laporan palsu berkenaan mengelak mahu membayar denda kehilangan kad pengenalan (MyKad).

“Semakan dilakukan dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati individu yang kehilangan kad pengenalan perlu membayar denda RM110 (kali pertama), RM310 (kali kedua) dan RM1,100 (kali ketiga),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelupusan Barang Kes yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini pada Jumaat.

Katanya, berdasarkan laporan diterima, beliau mendapati kebanyakan individu terbabit mendakwa mereka disamun, diragut atau dipukul.

Barang kes yang telah selesai bernilai RM5.3 juta dilupuskan.
Barang kes yang telah selesai bernilai RM5.3 juta dilupuskan.

“Hasil siasatan lanjut mendapati ada keraguan dalam laporan itu yang membongkar penipuan mereka.

"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat laporan palsu hanya kerana mahu mengelak bayaran denda kehilangan kad pengenalan," katanya.

Katanya, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan lain, Zainal berkata, IPD Gombak melupuskan 12,438 barang kes melibatkan 1,335 kertas siasatan yang dibuka pada 2010 hingga tahun ini yang bernilai RM5.3 juta.

“Selain itu, kami turut melupuskan 50 keping wang palsu berjumlah RM4,350 membabitkan 43 kertas inkuiri polis menerusi siasatan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Gombak.

“Tindakan perlupusan ini dibuat dengan kebenaran majistret selepas kes berkenaan sudah dibicarakan dan pesalah dikenakan hukuman oleh mahkamah," ujarnya.