Bayern optimis ikat Ronaldo

Ronaldo - Foto NDTV.com
Ronaldo - Foto NDTV.com
A
A
A

GERGASI Bundesliga, Bayern Munich optimis dengan kehadiran penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo di Allianz Arena musim panas nanti bagi menggantikan penyerang, Robert Lewandowski yang diberitakan bakal menyertai Barcelona.

Menurut Pengarah Sukan Bayern Munich, Hasan Salihamidzic, setakat ini kesemua urusan berhubung perkara berkenaan dilaporkan berjalan lancar dan sebarang perkembangan dijangka diketahui dalam masa terdekat.

“Setakat ini, kami lihat Ronaldo sebagai pemain yang bersesuaian untuk menggantikan Lewandowski yang mahu ke Nou Camp.

“Lagipun, kami tahu pemain hebat seperti Ronaldo pastinya mahu beraksi di pentas Liga Juara-Juara, tetapi dia tidak dapat merealisasikannya jika terus beraksi di Old Trafford.

“Oleh itu, kami membuka peluang buatnya untuk menyertai kami, namun dalam masa sama kami juga turut memantau situasi terutama dari segi kecergasannya. Itu perkara yang mustahak,” katanya.

Untuk rekod, Ronaldo masih memiliki kontrak semusim bersama United, namun dengan kehadiran pemain-pemain baharu di bawah pengendali Erik ten Hag nanti, mungkin agak sukar untuk Ronaldo merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Sementara itu, Salihamidzic berkata, pertemuan dengan Lewandowski baru-baru ini turut menggambarkan bahawa penyerang berkenaan benar-benar mahu meninggalkan Allianz Arena.

Malah katanya, Lewandowski turut menegaskan bahawa ‘era’ beliau bersama Bayern Munich juga sudah sampai ke penghujungnya.

Artikel Berkaitan:

“Lewandowski juga percaya Bayern sudah tidak mahu menyimpan pemain berusia sepertinya.

“Dia juga tidak mahu lagi beraksi bersama Bayern dan berpindah ke kelab lain adalah penyelesaian terbaik buatnya setakat ini,” katanya.