Kualiti perkhidmatan: Celcom, Digi, U Mobile berdepan penalti

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

CYBERJAYA - Tiga syarikat telekomunikasi, Celcom Axiata Berhad (Celcom), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) berdepan dengan penalti berat sehingga RM200,000.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi kenyataannya memaklumkan, tindakan di bawah seksyen 109, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) itu boleh diambil sekiranya ketiga-tiga syarikat tersebut gagal membuat penambahbaikan kualiti perkhidmatan dan pengalaman pengguna pada tahap yang baik serta memenuhi Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).

"Antara kawasan yang dikenalpasti untuk pembaikan perkhidmatan kualiti adalah Langkawi dan kawasan pelancongan yang lain," katanya.

Suruhanjaya itu berkata, pihaknya telah menjalankan audit teknikal ke atas perkhidmatan jalur lebar di 3,038 lokasi seluruh negara.

Menurutnya, kesemua lokasi ini dipilih adalah berdasarkan rekod lokasi aduan yang diterima oleh suruhanjaya itu.

"Daripada 3,038 lokasi tersebut, 40 notis wajib kepatuhan yang melibatkan 449 lokasi terawal gagal telah dikeluarkan dari 1 Januari hingga 15 Jun lalu," katanya.

Tiga maklum balas notis telah dinilai dan SKMM telah mengeluarkan Arahan Suruhanjaya terhadap tiga syarikat tersebut.

Ujar SKMM, aktiviti proses audit merupakan rutin yang sering dilakukan pihaknya bagi memantau tahap prestasi kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan.

"Bermula pada tahun 2021, SKMM telah menjalankan transformasi terhadap semua pejabat negeri di mana salah satu penambahbaikan yang dilakukan adalah dengan menambah peralatan dan pasukan audit yang dahulunya enam pasukan, kini terdapat 14 pasukan untuk menjalankan audit di lapangan.

Selain daripada itu, SKMM turut memperketatkan penguatkuasaan

MSQoS Perkhidmatan Capaian Jalur Lebar Tanpa Wayar.

"Jika sebelum ini audit dijalankan di beberapa wilayah, kini ia dijalankan di seluruh lokasi," katanya.

Tambah suruhanjaya itu, SKMM akan terus komited untuk memastikan rakyat di negara ini terus terhubung dan berupaya bagi memperoleh faedah daripada kesalinghubungan yang berkualiti tinggi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!