KDA siap sedia harungi gelora Bali

Aidil mengendalikan latihan KDA FC menjelang aksi pembukaan Piala AFC 2022 menentang Bali United pada Jumaat.
Aidil mengendalikan latihan KDA FC menjelang aksi pembukaan Piala AFC 2022 menentang Bali United pada Jumaat.
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC sudah bersedia berdepan Bali United menjelang aksi pembukaan Kumpulan G Piala AFC 2022 di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar, Bali, Indonesia pada Jumaat.

Pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak, ujian pertama itu dianggap cukup mencabar memandangkan Bali United FC memiliki reputasi tinggi selaku juara dua kali Liga 1 Indonesia.

Bagaimanapun, Aidil mengingatkan anak-anak buahnya tidak gentar apabila turun berdepan Bali United yang pastinya mendapat sokongan padu daripada penyokong sendiri.

“Ini ujian besar dan mencabar yang harus kami lalui. Ia tidak mudah kerana berdasarkan reputasi dan pencapaian tuan rumah selaku juara Liga 1 Indonesia, sudah pasti mereka membawa aura tersebut.

“Namun, sebagai jurulatih saya tidak mahu pasukan terlalu memikirkan kehebatan pihak lawan melalui reputasi serta aura kehebatan mereka sehingga memberi tekanan buat kami.

“Saya yakin dengan segala persiapan kami rancangkan, kami mahu turun beraksi penuh berkeyakinan, bersemangat dengan fokus mencari kemenangan,” katanya dalam sidang media pada Khamis.

Dalam pada itu, tonggak pertahanan KDA FC, Mohd Akmal Md Zahir berkata, barisan pemain Hijau Kuning telah melakukan persiapan mental dan fizikal rapi untuk mengharungi atmosfera di gelanggang keramat lawan mereka itu.

“Bagi mengharungi kempen Piala AFC kali ini, kami tidak hanya akan berdepan barisan pemain Bali United tetapi juga situasi daripada penyokong pasukan tuan rumah.

“Kami ada melakukan analisis mengenai Bali United dan akan memberikan aksi terbaik dalam misi meraih tiga mata dalam perlawanan itu nanti,” jelasnya.

KDA FC hadir ke Bali dengan dua pemain import baharu iaitu Mahmoud Al-Mardi dari Jordan dan Sanrawat Dechmitr (Thailand) dalam misi mereka memburu satu slot ke peringkat kalah mati Zon ASEAN.