KL City elak perangkap Makassar

Bojan berjabat tangan dengan pengendali Makassar, Bernardo Tavares dalam sidang media di Kuala Lumpur pada Khamis.
Bojan berjabat tangan dengan pengendali Makassar, Bernardo Tavares dalam sidang media di Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA Lumpur (KL City FC) akan mengambil sikap berwaspada dalam aksi pertama Kumpulan H Piala AFC 2022 menentang kelab Indonesia, PSM Makassar di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.

Pengendali KL City, Bojan Hodak berkata, anak-anak buahnya tidak boleh alpa apabila berdepan Makassar sekalipun lawan mereka itu kurang beraksi dalam perlawanan kompetitif sebelum ini.

Malah, Bojan memberitahu, Makassar mempunyai beberapa pemain muda dan import berbakat yang mungkin memberi ancaman kepada The Hawks untuk mengutip tiga mata penuh dalam aksi tersebut.

“Walaupun kita ada kelebihan bermain lebih banyak perlawanan kompetitif berbanding Makassar, itu tidak bermaksud kita boleh pandang rendah kepada mereka. Ini kerana mereka merupakan pasukan yang sudah biasa beraksi di pentas besar seperti Piala AFC ini.

“Malah bukan itu sahaja, mereka juga mempunyai dua pemain import yang berkualiti selain pemain-pemain muda berbakat seperti gandingan adik beradik Sayuri (Yakub dan Yance) dan Rizky (Eka Pratama) di bahagian serangan.

“Saya jangka perlawanan sengit pada aksi pertama ini. Jadi pemain harus berwaspada dengan ancaman yang akan diberikan Makassar jika mahu mendapat tiga mata penuh pada perlawanan ini,” katanya dalam sidang media pada Khamis.

Ketika ditanya berkenaan keadaan barisan pemainnya selepas tewas 0-2 kepada Terengganu FC (TFC dalam aksi Liga Super minggu lalu), Bojan memberitahu, mereka sudah melupakan detik pahit itu.

Bagaimanapun, beliau mengakui akan melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utama selepas pemain tengah, J Partiban masih mengalami kecederaan dan tidak cukup cergas untuk diturunkan pada aksi tersebut.

“Saya rasa semua pemain sudah move on dengan kekalahan kepada Terengganu sebelum ini. Tumpuan setiap pemain kini terarah kepada perlawanan pertama Piala AFC menentang Makassar.

“Untuk perlawanan esok (Jumaat), semua pemain cergas untuk diturunkan. Romel (Morales) dan (Paulo) Josue yang sebelum ini mengalami kecederaan juga telah pulih dan bersedia untuk diturunkan.

“Cuma Partiban yang tak dapat diturunkan pada perlawanan itu nanti kerana masih belum pulih daripada kecederaan yang dialaminya. Mungkin pada perlawanan kedua, dia cergas untuk diturunkan,” jelasnya.