Nafas mohon peruntukan RM700 juta tingkat hasil pertanian, industri ayam

Abd Rahman (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang ahli PPK Sungai Besar pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPK Sungai Besar Kali ke-41 di Dewan Terbuka Dataran PPK Sungai Besar pada Khamis.
Abd Rahman (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang ahli PPK Sungai Besar pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPK Sungai Besar Kali ke-41 di Dewan Terbuka Dataran PPK Sungai Besar pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memohon peruntukan sebanyak RM700 juta kepada kerajaan bagi meningkatkan hasil pertanian khususnya rantaian industri ayam.

Ahli Jemaah Pengarahnya, Datuk Dr Abd Rahman Bakri berkata, melalui peruntukan itu, pelan perancangan Nafas berskala besar diyakini dapat menstabilkan semula isu kekurangan bekalan serta harga pasaran ayam.

Menurutnya, Nafas mempunyai enam ladang ayam yang menghasilkan 278,500 ekor bagi satu pusingan.

"Enam ladang ternakan ayam tersebut merupakan ladang milik Nafas dan juga ladang kontrak yang terletak di Rengit Johor; Alor Gajah Melaka; Beruas dan Padang Rengas di Perak; Nibong Tebal Pulau Pinang dan Baling Kedah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Besar Kali ke-41 di Dewan Terbuka Dataran PPK Sungai Besar di sini pada Khamis.

Abd Rahman berkata, rantaian industri ternakan ayam itu bermula daripada anak ayam, makanan ternakan, reban dan pusat pemprosesan.

"Selain itu, rantaian itu turut membabitkan bilik sejuk beku, logistik, pusat pengedaran dan pemasaran sehingga bekalan sampai kepada pengguna," ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, Nafas juga terlibat dalam industri penanaman jagung bijian bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan mentah untuk makanan ayam.

Katanya, kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini digunakan bagi tanaman tembakau dikenal pasti untuk digunakan semula bagi tanaman jagung bijian.

Jelas beliau, usaha itu diharap dapat membantu kerajaan bagi memastikan harga ayam di pasaran kekal relatif dan stabil.

"Krisis bekalan dan kenaikan harga ayam sering berlaku di negara ini dan kita harap ia dapat mengurangkan keresahan rakyat lebih-lebih lagi ia membabitkan isu sekuriti makanan," jelasnya.