ASTAF tarik balik pelepasan penggantungan Wan Mohd Husni

Abdul Halim
Abdul Halim
A
A
A

PERSEKUTUAN Sepaktakraw Asia (ASTAF) menarik balik pelepasan penggantungan ke atas Presiden Sepaktakraw Negeri Sembilan, Wan Mohd Husni Abdullah bermula Khamis susulan tindakan beliau memburukkan nama baik badan induk sukan itu.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, langkah itu dibuat selepas Wan Mohd Husni membuat tohmahan terhadap dirinya dengan mendakwa beliau melakukan kerja berseorangan dan tidak mengikut peraturan.

Abdul Halim berkata, tohmahan itu dilakukan ketika pertemuan antara wakil Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) termasuk wakil Konfederasi Sepaktakraw Malaysia diketuai Presidennya, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof pada 8 April lepas.

"Beliau juga membuat tohmahan bahawa tiada sebarang mesyuarat diadakan ketika mengambil tindakan menyingkirkan PSM daripada ahli gabungan ASTAF," kata Abdul Halim dalam satu kenyataan pada Khamis.

Justeru, Abdul Halim menolak dakwaan berkenaan selain mempunyai bukti kukuh bagi segala tuduhan dilemparkan oleh Pengerusi Kejurulatihan PSM itu terhadap ASTAF.

"ASTAF melihat tuduhan ini amat serius serta mengaibkan ASTAF," katanya.

Jelasnya, hukuman ke atas Wan Mohd Husni dikenakan sehingga 8 Disember 2024 selaras dengan hukuman penggantungan hingga tamat tempoh lima tahun yang telah dijatuhkan ke atasnya pada 9 Disember 2019.

Wan Mohd Husni sebelum ini telah dikenakan tindakan penggantungan oleh ASTAF atas kesalahan dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Namun selepas menjalani penggantungan selama beberapa bulan, ASTAF telah mengurangkan tempoh tersebut hasil rayuan beliau yang telah dikemukakan kepada persatuan berkenaan pada Ogos tahun lepas. - Bernama