47 tabika, taska Kemas dibina menerusi peruntukan RM21.9 juta

 Kemas akan membina 47 tabika dan taska tahun ini menerusi peruntukan kerajaan berjumlah RM21.9 juta. - Gambar hiasan
Kemas akan membina 47 tabika dan taska tahun ini menerusi peruntukan kerajaan berjumlah RM21.9 juta. - Gambar hiasan
A
A
A

ALOR GAJAH - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan membina 47 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) tahun ini menerusi peruntukan kerajaan berjumlah RM21.9 juta, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau berkata, pembinaan 42 tabika dan lima taska itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

"Pembinaan ini secara tidak langsung dapat menampung permintaan dan keperluan semasa pendidikan awal kanak-kanak di kawasan bandar dan pinggir bandar," katanya.

Abdul Rahman berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Kursus Pendidikan Awal Kanak-kanak (SPAK) 2022 di Kem Permata Resort, Ayer Paabas di sini pada Khamis yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin.

Beliau sebelum itu menyampaikan sijil kepada 349 pelatih daripada Institut Latihan Kemas (ILK) Kuala Lumpur dan Kuantan serta Pusat Latihan Kemas (PLK) Melaka, Kuala Terengganu dan Kepala Batas yang telah menamatkan latihan tiga bulan di institut dan pusat latihan berkenaan.

Menurut Abdul Rahman, pembinaan berkenaan sejajar dengan hasrat Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk mewujudkan lebih banyak tabika dan taska bagi menampung permintaan yang amat tinggi setiap tahun khususnya di kawasan pinggir bandar dan bandar.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kemas juga bersedia melatih lebih ramai warga pendidik yang mempunyai Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan lepasan diploma pelbagai bidang dalam memastikan kualiti pendidikan untuk kanak-kanak menepati piawaian ditetapkan.

Beliau berkata, langkah itu menjadikan Kemas diiktiraf sebagai jenama yang paling dipercayai oleh Reader's Digest menerusi Anugerah Emas yang diterima dalam kategori Pendidikan Awal Kanak-Kanak baru-baru ini, sekali gus mengulangi kejayaan yang diraih pada 2020 dan 2017.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahman berkata, 700 tabika dan taska Kemas akan dibekalkan kemudahan Internet dengan sekurang-kurangnta 50 peratus premis akan mempunyai akses internet menjelang 2030.

"Ia sedang dilaksanakan secara berperingkat pada tahun ini dengan pemasangan Wi-Fi, pemberian komputer riba dan televisyen pintar dibekalkan kepada tabika dan taska terlibat," katanya. - Bernama