Satelit Measat-3d: Agong zahir ucapan tahniah kepada kerajaan, Measat

Al-Sultan Abdullah menzahirkan tahniah dan penghargaan kepada kerajaan serta Measat atas kejayaan pelancaran satelit Measat-3d awal pagi Khamis. - Foto Measat
Al-Sultan Abdullah menzahirkan tahniah dan penghargaan kepada kerajaan serta Measat atas kejayaan pelancaran satelit Measat-3d awal pagi Khamis. - Foto Measat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan setinggi tahniah dan penghargaan kepada kerajaan dan Measat Global Berhad (Measat) atas kejayaan pelancaran satelit Measat-3d awal pagi Khamis.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sukacita dengan kejayaan ini kerana ia amat bermakna khususnya untuk rakyat.

Titah Al-Sultan Abdullah, rakyat akan menikmati internet berkelajuan tinggi tidak kira di kawasan bandar, pinggir bandar atau pedalaman di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak menerusi perkhidmatan jalur lebar satelit.

"Seri Paduka Baginda bertitah ia juga selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dalam usaha merapatkan jurang ketersambungan digital dan mewujudkan masyarakat inklusif digital tanpa meminggirkan mana-mana kelompok rakyat di negara ini.

"Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar dengan akses internet yang stabil dan pantas, rakyat Malaysia akan memperoleh pelbagai manfaat sosioekonomi seperti penyertaan dalam aktiviti e-Dagang dan pembelajaran digital," menurut Ahmad Fadil dalam kenyataan.

Satelit kelapan negara yang dianggar melibatkan kos RM1.2 bilion itu dilancar di Pusat Angkasa Lepas Eropah Kourou, French Guiana, Amerika Selatan pada 5.50 pagi waktu Malaysia (6.50 petang waktu tempatan 22 Jun).

Satelit dengan jangka hayat 18 tahun itu adalah jenis Geostationary Equatorial Orbit atau GEO mempunyai tapak liputan yang luas dan berkemampuan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar pantas dan menyokong aliran tinggi data dikenali sebagai High Throughput Satellite (HTS).

HTS adalah antara perkhidmatan penting dalam penyediaan perkhidmatan jalur lebar tinggi terutama di kawasan pedalaman.

Artikel Berkaitan:

Penyedia perkhidmatan telekomunikasi lain juga boleh menggunakan satelit berkenaan untuk menawarkan perkhidmatan data, suara dan video kepada tiga hingga lima peratus populasi yang belum lagi diliputi oleh sambungan fiber atau jalur lebar tanpa wayar seperti ditawarkan Measat melalui perkhidmatan jalur lebar satelit CONNECTme NOW. - Bernama