Measat-3d dapat tingkat kapasiti jalur lebar 10 kali ganda

Kakitangan Maxis Berhad melihat replika satelit Measat-3d pada Majlis Pelancaran MEASAT-3d dari Kourou Space Centre, French Guiana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC-KL) pada Khamis. - Foto Bernama
Kakitangan Maxis Berhad melihat replika satelit Measat-3d pada Majlis Pelancaran MEASAT-3d dari Kourou Space Centre, French Guiana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC-KL) pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelancaran Satelit Measat-3d pada pagi Khamis membolehkan Measat meningkatkan kapasiti jalur lebarnya sebanyak 10 kali ganda iaitu daripada 3Gbps kepada 30Gbps.

Ahli Lembaga Pengarah Astro Malaysia Holdings, Mazita Mokty berkata, ia akan dapat meluaskan akses jalur lebar berkelajuan tinggi termasuk di kawasan mempunyai sambungan darat terhad atau yang tiada.

Menurutnya, satelit yang dianggarkan mempunyai jangka hayat sebanyak 18 tahun ini juga akan menjadi pelengkap kepada Satelit Measat-3a dan 3b yang terletak bersama di hotslot orbit 91.5°Timur.

“Ketersediaan internet berkelajuan tinggi di kawasan pedalaman akan dipertingkatkan daripada kelajuan muat turun 30 Mbps kini kepada 100 Mbps, membolehkan pengguna menstrim kandungan tinggi data seperti video 4K dan 8K,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Satelit Measat-3d.

Satelit Measat-3d itu berjaya dilancarkan ke orbit pada jam 5.50 pagi dari European Spaceport di Kourou, French Guiana, Amerika Syarikat.

Satelit kelapan Measat dan tercanggih itu dibawa menggunakan roket Ariane-5 ECA.

Pelancaran satelit ini disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.

Tambah Mazita, Measat turut berbangga dapat menyokong inisiatif kerajaan Malaysia termasuk Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi merapatkan jurang ketersambungan digital.

“Dan membolehkan masa depan yang mempunyai sambungan lebih baik untuk semua rakyat Malaysia melalui usaha meluaskan liputan internet berkelajuan tinggi di kawasan luar bandar yang kurang liputan,” ujarnya.

Menurutnya, perkhidmatan jalur lebar satelit CONNECTme NOW oleh Measat akan dapat menyambungkan 100 peratus penduduk Malaysia.

“Terutamanya penduduk di kawasan pedalaman yang tidak mendapat perkhidmatan internet atau pun liputan 4G dan gentian.

“Kami akan dapat menawarkan liputan untuk segmen tiga hingga lima peratus penduduk luar bandar terakhir yang masih belum diliputi sambungan gentian atau jalur lebar tanpa wayar,” jelasnya.