Golongan cendekiawan disaran beri idea selesai pelbagai isu negara

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

JOHOR BAHRU - Golongan cendekiawan, akademik dan pihak universiti perlu tampil memberi idea dan cadangan bagi menyelesaikan pelbagai isu yang sedang dihadapi negara ketika ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mereka wajar memberikan jalan penyelesaian dengan pencerahan dan semak imbang melalui tulisan, idea, kritikan serta debat.

Jelas bekas Menteri Besar Johor itu, golongan itu perlu ke depan, bukannya sekadar memberikan pandangan sepintas lalu dan tidak terperinci seperti yang biasa dilakukan ketika ini.

"Kita tidak mahu wujud tanggapan masyarakat yang mereka tidak 'resonates' dengan segala kemaslahatan bangsa dan negara, hanya ghairah mengejar ranking universiti demi prestij dan bukan sumbangan kepada masyarakat.

"Ketika ini kita terus berdepan pelbagai cabaran politik, ekonomi, sosial dan pembangunan. Tetapi yang lebih membimbangkan adalah kurangnya pihak tampil dan mengetengahkan ‘discourse’ yang aktif dan membina tentang pelbagai masalah dan krisis yang melanda negara baik daripada segi media cetak mahupun media digital.

"Yang kedengaran adalah kecaman dan kritikan bersandarkan pendapat semata-mata, tanpa data, dapatan empirikal dan pemikiran yang kritis," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohamed Khaled berkata, lebih malang apabila netizen menjadi pihak yang berpengaruh dan bukan para pemikir bertauliah yang mendominasi keadaan.

Justeru katanya, Malaysia memerlukan pembudayaan intelektual dan ‘alternative views’ terhadap pelbagai dasar nasional, bukan ulasan tidak substantif, cetek apalagi populis.

"Sewajarnya, golongan intelektual bertanggungjawab menampilkan ilmu yang mereka kaji, ajar dan terokai untuk manfaat insan. Tidak terhad di kuliah-kuliah sahaja. Saya percaya mereka pastinya ada gagasan serta kecerdasan yang boleh menerbitkan dasar dan solusi yang benar-benar bermutu dan memanfaatkan.

"Ayuh kepimpinan universiti, janganlah terus membisu dan hanya reaktif seolah-olah universiti kita tidak punya sumber dan kekuatan pemikiran untuk menyumbang solusi handal terhadap masalah nasional," katanya.

Katanya, jika dasar awam digubal, diulas dan dilaksana tanpa sumbangan dan kolaborasi golongan cendekiawan, perkara itu merupakan satu kerugian kepada negara sedangkan Malaysia mempunyai sumber insan terbaik.