Kes HFMD di Kelantan meningkat

Sebanyak 522 kes baharu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Kelantan. - Gambar hiasan
Sebanyak 522 kes baharu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Kelantan. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Trend jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) kembali mencatatkan peningkatan di Kelantan apabila sebanyak 522 kes baharu direkodkan setakat ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, peningkatan itu direkodkan dalam tempoh 10 hari sehingga Sabtu lalu.

"Jika dibandingkan minggu lalu hanya 372 kes sahaja yang direkodkan.

"Kota Bharu merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 203 sepanjang Minggu Epidemiologi (ME) ke-24," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, Pasir Puteh menjadi lokasi kedua yang merekodkan kes tertinggi (55 kes) diikuti Pasir Mas (52 kes), Machang (51 kes), Kuala Krai (40 kes), Bachok (42 kes), Tumpat (28 kes), Gua Musang (25 kes), Jeli (15 kes) dan Tanah Merah (14 kes).

Beliau berkata, Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas dan Machang masih kekal berada dalam zon merah.

Katanya, golongan kanak-kanak berusia satu hingga empat tahun menjadi penyumbang terbesar berkait HFMD iaitu sebanyak 68.3 peratus.

Dr Zaini berkata, manakala kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun (14.1 peratus), kanak-kanak tujuh hingga 12 tahun (8.4 peratus), remaja berumur 13 hingga 17 tahun (7.9 peratus) dan golongan 18 tahun ke atas (0.8 peratus).

"Setakat ini hanya seorang kanak-kanak yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di hospital, manakala selebihnya mendapat rawatan sebagai pesakit luar serta menjalani kuarantin di rumah.

"Ibu bapa, penjaga dan pihak taska atau tadika dinasihatkan terus mengambil langkah menjaga kebersihan bagi mengelakkan penularan jangkitan HFMD," katanya.

Menurutnya, pemantauan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan kes jangkitan menurun.