Jaheaik bakal lupuskan 1 tan abu al-Quran

Che Mohd Rahim (kanan) menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan negeri Kelantan, Kementerian Dalam Negeri, Muhammad Afiq Abu Hassan (kiri).
Che Mohd Rahim (kanan) menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan negeri Kelantan, Kementerian Dalam Negeri, Muhammad Afiq Abu Hassan (kiri).
A
A
A

KOTA BHARU - Satu tan abu daripada tiga tan al-Quran yang rosak akan dilupuskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) di perairan Tok Bali, Pasir Puteh pada Rabu.

Pengarah Jaheaik, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata, al-Quran yang terjejas akibat pelbagai foktor termasuk akibat banjir itu diperolehi daripada pelbagai sumber di negeri ini.

“Pengumpulan tiga tan al-Quran terjejas antaranya akibat terlalu lama dan faktor terkena banjir tersebut dikumpulkan bermula Januari tahun lalu sehingga Januari tahun ini.

“Kesemua naskah dan helaian al-Quran yang terjejas tersebut sudah selesai menjalani proses pembakaran yang mengambil tempoh selama enam bulan menjadi abu seberat satu tan yang akan dilupuskan di laut di Tok Bali, Pasir Puteh esok,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Rasm Uthmani dan Kaedah Pelupusan Al - Quran Mengikut Syarak 1443 H / 2022 di Kompleks Islam Kelantan di Lundang di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan negeri Kelantan, Kementerian Dalam Negeri, Muhammad Afiq Abu Hassan.

Beliau turut meminta kerjasama semua pihak termasuk jabatan, agensi, masjid dan orang ramai supaya mengumpulkan dan menyerahkan al-Quran yang rosak kepada Jaheaik untuk dibuat pelupusan secara tertib mengikut hukum syarak.

“Semua pihak perlu maklum bahawa ayat-ayat al-Quran sama al-Quran sendiri atau pun ayat-ayat yang ada dalam buku, tidak dibuang merata-rata dan ambil ayat-ayat itu untuk dilipuskan.

“Kerajaan negeri sudah bersetuju memberi perkhidmatan tersebut secara percuma,” katanya.

Dalam perkembangan sama, seramai 90 peserta daripada pelbagai agensi termasuk kerajaan dan masjid menyertai seminar tersebut yang memberi pendedahan terhadap kaedah Rasm Uthmani serta pengawal seliaan al-Quran.

“Penganjuran program bertujuan memastikan Rasm Uthmani diteruskan bagi memelihara kesucian dan kemuliaan al-Quran melalui pelupusan al-Quran rosak yang mengikuti hukum syarak,” katanya.

Untuk rekod, Kelantan pernah melupuskan 20 tan al-Quran yang rosak akibat terjejas pada banjir di negeri itu pada tahun 2014.