Tiga lelaki ditahan curi peralatan elektrik

Antara peralatan elektrik yang ditemui dalam serbuan tersebut. - Foto PDRM
Antara peralatan elektrik yang ditemui dalam serbuan tersebut. - Foto PDRM
A
A
A

NILAI - Tiga lelaki ditahan disyaki mencuri peralatan elektrik di sebuah premis perniagaan di Putra Point, Bandar Baru Nilai di sini pada Isnin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Mat Ghani Lateh berkata, kesemua suspek berusia 18 hingga 48 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.30 pagi iaitu kurang 24 jam selepas polis menerima aduan daripada mangsa.

"Hasil maklumat yang diterima, polis Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Nilai bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri Sembilan telah menyerbu sebuah premis di Putra Point, Bandar Baru Nilai.

"Dalam serbuan itu, semua barang yang dicuri berjaya ditemui semula, antaranya tiga televisyen pelbagai jenama, tujuh pembesar suara dan dua set ' amplifier mixer' pelbagai jenama, termasuk sebuah kenderaan jenis Toyota Hiace yang digunakan semasa kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, anggaran barang yang ditemui dan dirampas berjumlah RM85,000.

Dalam pada itu, Mat Ghani berkata, seorang lagi suspek lelaki warganegara Syria masih bebas dan sedang dikesan dipercayai boleh membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenainya boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat kes iaitu Sarjan Mohamad Firdaus Mohd Ali ditalian 06-7904222/011-10194262 atau hadir di balai polis terdekat.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana melakukan curi dalam bangunan dengan jalan menyebabkan kerugian," katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat.