Bas Muafakat Johor bakal tambah sembilan laluan baharu

Mohamad Fazli
Mohamad Fazli
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri bercadang untuk menambah sembilan laluan baharu perkhidmatan bas percuma iaitu Bas Muafakat Johor (BMJ) melibatkan kos sebanyak RM 3.84 juta.

Exco Kerja Raja, Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata salah satu daripada sembilan laluan baharu yang dicadangkan itu terletak kawasan Majlis Daerah Kota Tinggi.

"Laluan tersebut ialah laluan dari Bandar Kota Tinggi ke Tanjung Sedili dengan cadangan kekerapan perjalanan sebanyak emapt kali sehari.

"Cadangan tambahan laluan baharu itu telah dikemukakan pada Mesyuarat Kerajaan Negeri pada tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan, Muszaide Makmor ( BN-Sedili) berkaitan inisiatif perkhidmatan kemudahan pengangkutan awam pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri ( DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar, di sini pada Selasa.

Mohamad Fazli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Bukit Pasir, berkata cadangan bagi laluan tambahan BMJ yang dicadangkan masih dalam proses untuk dimuktamadkan.

"Pihak Perbadanan Pengangkutan Awam (PAJ) Johor akan menjalankan proses perolehan bagi melantik operator yang berkelayakkan untuk menjalankan operasi di laluan tersebut sekiranya proses memuktamadkan klausa dengan pihak kerajaan Negeri telah selesai," katanya.

Perkhidmatan Bas Muafakat Johor (BMJ) merupakan perkhidmatan bas percuma kepada warganegara Malaysia yang telah dilaksanakan bermula tahun 2016.

Ia disediakan oleh Kerajaan Negeri di mana 14 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlibat yang dikendalikan oleh (PAJ).