Kes bunuh CEO Cradle Fund: Samirah, dua remaja bebas

Samirah Muzaffar menghadapi tuduhan membunuh suaminya di Mahkamah Tinggi. Foto Bernama
Samirah Muzaffar menghadapi tuduhan membunuh suaminya di Mahkamah Tinggi. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa membebaskan isteri Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada tuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund itu, empat tahun lalu.

Hakim, Datuk Ab Karim Ab Rahman memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan gagal menimbulkan prima facie terhadap kes di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, hakim Ab Karim berkata, pihak pendakwaan hanya membuat andaian berhubung ketiga-tiga tertuduh berada dengan mangsa ketika waktu kejadian sebagaimana yang dinyatakan dalam pertuduhan.

“Mahkamah mendapati tiada keadaan menunjukkan ketiga-tiga tertuduh melakukan pembunuhan.

“Pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie maka mahkamah melepas serta membebaskan Samirah serta dua remaja itu daripada pertuduhan,” katanya.

Pada 14 Februari lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak si mati, Dr Abdul Aziz, Dr Malek Reedzwan dan Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Siew Sheue Feng; Dr Prashant Sanberker serta pengawal keselamatan kediaman si mati, Raju Kumar Pandit.

Perbicaraan bermula pada 6 September 2019.

Isteri Nazrin iaitu Samirah, 47, serta dua remaja masing-masing berusia 20 dan 16 tahun dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin, 45 (ketika kejadian), di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi, 14 Jun 2018.

Pasukan pendakwaan dianggotai Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail dan Nur Sabrina Abu Bakar manakala pembelaan terdiri daripada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah serta Rahmat Hazlan.