Turunkan had umur Lesen Vokasional bantu belia tambah pendapatan

Dari kiri: Mohammad Afif, Nik Farreen, Nur Fara Aliaa
Dari kiri: Mohammad Afif, Nik Farreen, Nur Fara Aliaa
A
A
A

SHAH ALAM - Rata-rata golongan belia bersetuju terhadap langkah kerajaan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi menurunkan had umur pemegang Lesen Vokasional daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Mohammad Afif Azlan, 18, dari Sepang berkata, langkah tersebut dilihat membolehkan belia memperluaskan lagi kemahiran pekerjaan mereka dengan lebih awal.

“Dengan pelaksanaan dasar itu, saya melihat ia membantu belia untuk berdikari dan menambahkan pendapatan contohnya dengan membawa kenderaan p-hailing sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada ibu bapa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Pada Sabtu, kerajaan dilaporkan bakal menurunkan had umur penunggang motosikal yang membawa barangan termasuk kenderaan p-hailing daripada 21 kepada 18 tahun.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, langkah itu bagi membolehkan lebih ramai belia mempunyai pilihan memperoleh pendapatan tambahan melalui perkhidmatan p-hailing dan platform penghantaran barangan lain.

Turut bersetuju, Nik Fazreen Natasha Nik Muhammed, 18, dari Kota Bharu berpandangan, langkah tersebut memudahkan golongan belia untuk terlibat lebih awal dalam pasaran pekerjaan di Malaysia.

“Kita juga tahu sektor gig ekonomi seperti p-hailing, sememangnya mudah diakses oleh pekerja.

"Selain itu, sektor berkenaan memerlukan banyak pekerja untuk tempoh tertentu.

“Ia secara langsung membantu belia mendapatkan pendapatan sampingan dalam tempoh tertentu contohnya ketika peralihan dari sekolah ke universiti ataupun ketika cuti semester bagi yang belajar di universiti,” jelasnya.

Pembantu pergigian, Nur Fara Aliaa Diyana Mohd Azman, 19, pula berkata, dia yakin isu keupayaan belia bagi memiliki lesen tidak timbul memandangkan mereka sudah boleh mengambil lesen memandu seawal umur 16 tahun.

“Lagipun kita pastinya perlu melengkapkan latihan, ujian pemanduan dan pelbagai lagi syarat lain yang ditetapkan untuk tujuan itu,” ujarnya.