Pemandu Bezza lari SJR, langgar penunggang motosikal dikesan

Seorang pemandu Perodua Bezza dikesan polis setelah melanggar penunggang motosikal dalam sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 0.4 berhampiran Plaza Tol Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint). - Foto PDRM
Seorang pemandu Perodua Bezza dikesan polis setelah melanggar penunggang motosikal dalam sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 0.4 berhampiran Plaza Tol Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint). - Foto PDRM
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pemandu Perodua Bezza dikesan polis setelah melanggar penunggang motosikal dalam sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 0.4 berhampiran Plaza Tol Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint) di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.10 pagi ketika sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sedang melakukan SJR di lokasi terbabit.

"Semasa sekatan dijalankan, sebuah Perodua Bezza telah ditahan, namun pemandu kenderaan tersebut bertindak melarikan diri.

"Semasa melarikan diri, pemandu terbabit melanggar seorang penunggang motosikal berusia 40-an mengakibatkan mangsa cedera," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, usaha mengesan pemandu Perodua Bezza berkenaan sedang dijalankan.

"Polis memohon agar pemandu terbabit tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat IPD Petaling Jaya, Sarjan Azaruddin Mokhtarzad di talian 011-11713436 untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.