Belia digesa kuasai kemahiran baharu: Noraini

Noraini Ahmad
Noraini Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Golongan belia perlu meraih kemahiran dan pandangan baharu dalam menyediakan diri bagi menghadapi pasaran kerja yang kompetitif kerana prestasi akademik bukan satu-satunya faktor yang menentukan kebolehpasaran, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata, majikan kini mencari mereka yang memiliki pengetahuan dan kemahiran yang relevan dengan Revolusi Perindustrian Keempat, daripada aspek celik digital sehingga kemahiran insaniah.

"Pemerolehan ijazah bukanlah penamat kepada pembelajaran. Sentiasalah berusaha untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran diri anda,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Belia Global Kuala Lumpur (KLGYS) 2022 di sini, pada Isnin.

Noraini berkata dunia hari ini bergerak sangat pantas dan belia perlu tangkas seiring dengan kepantasannya untuk berjaya.

Sidang kemuncak KLGYS sehari itu menarik penyertaan 450 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Belgium, Hong Kong, India, Indonesia dan Zambia yang hadir secara fizikal dan melalui platform dalam talian.

Tujuh sesi dan 29 penceramah tempatan serta antarabangsa berkongsi pengalaman mereka dalam sidang kemuncak itu.

Sesi itu merangkumi pelbagai isu seperti mengejar kerjaya dalam dunia hiburan, nilai aset digital, memahami kesihatan mental dan cara untuk memanfaatkan kekuatan individu.

KLGYS 2022 dianjurkan oleh Yayasan Juwita bersama Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Kebangsaan Malaysia bagi membantu membolehkan golongan dewasa muda berinteraksi dengan pemimpin industri tempatan dan antarabangsa. - Bernama