Empat lagi Geng Chandra diburu

Empat lelaki disyaki ahli kumpulan Geng Chandra yang masih diburu polis.
Empat lelaki disyaki ahli kumpulan Geng Chandra yang masih diburu polis.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang sedang mengesan empat lelaki disyaki ahli kumpulan jenayah terancang Geng Chandra yang masih bebas selepas 14 individu termasuk dua wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, empat lelaki tersebut adalah K Harivin Raj, 25, B Jagandran, 47, dan dua warga asing dikenali sebagai Juanda dan Afrizal.

''Seramai 14 ahli kumpulan ini ditahan polis menerusi Op Cantas Tanjung 3 pada 25 Mei lalu dan mereka telah didakwa di mahkamah kerana menganggotai sebuah kumpulan jenayah terancang yang disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Kumpulan ini termasuk empat lagi suspek yang diburu polis dipercayai menjalankan aktiviti jenayah penyeludupan dadah ke negara jiran serta memiliki senjata api dan bergiat aktif sejak tahun 2021,'' katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Sebelum ini, seramai 11 penjenayah termasuk seorang warga emas ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kumpulan jenayah terancang di negeri ini pada 24 Mei lalu.

Susulan penahanan ahli kumpulan itu, polis berjaya merampas sebutir bom tangan yang masih aktif, enam pucuk senjata api dan 185 butir peluru hidup.

Kumpulan tersebut dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah, jenayah dan pemilikan senjata api.

Kesemua mereka ditahan dalam beberapa serbuan bermula jam 12 tengah hari di sekitar negeri ini dalam Op Cantas Tanjung III oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang dengan dibantu Bahagian Jenayah Terancang (D14), JSJ Bukit Aman.