PRK Rantau: Wanita UMNO dakwa PH terdesak, guna taktik kotor

Noraini Ahmad
A
A

KUALA LUMPUR - Wanita UMNO membidas tindakan PH kerana begitu terdesak untuk memenangi PRK DUN Rantau sehingga sanggup menggunakan cara kotor dengan mengamalkan undang-undang rimba.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, tujuan sebenar PH untuk memenangi PRK tersebut hanyalah untuk mencalar kredibiliti UMNO yang meletakkan penyandang kerusi itu, Datuk Seri Mohamad Hasan.

"Kita sedar PRK DUN Rantau sangat-sangat hendak dimenangi oleh PH untuk mencalar kredibiliti UMNO apabila ia ditandingi Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden.

"Bagaimanapun, ini tidak bermakna mereka boleh menggunakan cara kotor untuk menang. Kepimpinan kerajaan baru PH disifatkan mengamal 'undang-undang rimba," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata demikian sebagai mengulas tindakan pemimpin PH yang melanggar undang-undang pilihan raya apabila Ahli Parlimen Miri,

Dr Michael Teo Yu Keng memberikan kupon makanan percuma bernilai RM75,000 kepada 300 pelajar miskin dari lima buah sekolah dalam kawasan PRK DUN Rantau.

"Walaupun tempoh berkempen belum bermula tetapi perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan ini boleh dianggap sebagai satu kesalahan dalam pilihan raya. Ini juga boleh dianggap rasuah PRK kerana ia berlaku dalam kawasan pilihan raya," katanya.

Jelas beliau, sejak PH memerintah negara, ada sahaja kesalahan demi kesalahan yang dilakukan termasuklah semasa musim pilihan raya dan ini jelas dapat dilihat di PRK Cameron Highlands dan PRK Semenyih, namun tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak bertanggungjawab.

"Justeru, Wanita UMNO mendesak agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan tegas agar PRK Rantau dapat berjalan dengan bersih dan tanpa prejudis," jelasnya.

Untuk rekod, Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 jelas menunjukkan tindakan menjamu sesiapa sahaja dengan makanan, minuman, bekalan, wang, tiket atau apa saja kaedah lain bertujuan mempengaruhi seseorang secara rasuah untuk mengundi pada pilihan raya adalah satu kesalahan.

Seksyen 8 dan seksyen lain dalam akta sama seperti pengembangan perasaan jahat, permusuhan, pengaruh tidak wajar dan rasuah dimulakan dengan fasa sebelum, semasa dan selepas pilihan raya tidak boleh dilakukan.