307 peserta konvoi motosikal disaman

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Sebanyak 307 saman telah dikeluarkan kepada penunggang motosikal yang menyertai satu konvoi atas pelbagai kesalahan dalam satu sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 116 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Tanjung Malim pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, SJR itu dilakukan apabila pihaknya mengesan satu hantaran yang tular di laman Twitter berkaitan sekumpulan penunggang motosikal berkonvoi di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Tanjung Malim.

Katanya, hasil siasatan awal pihaknya mendapati kumpulan motosikal itu bergerak secara berkumpulan dari arah utara dan selatan menuju ke sebuah restoran di Tanjung Malim.

"Polis Daerah Muallim telah menggerakkan seramai 28 pegawai kanan dan pegawai rendah polis mengadakan satu SJR di laluan berkenaan bagi tujuan pemeriksaan ke atas motosikal tersebut.

"Operasi yang bermula jam 9 pagi hingga 4 petang itu merekodkan 307 penunggang motosikal disaman manakala lima lagi saman ke atas lain-lain kenderaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Hasni berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mengesan pelbagai kesalahan dilakukan oleh penunggang motosikal antaranya tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi pandang belakang, nombor pendaftaran kenderaan tidak lengkap dan 'fancy' serta ubah suai ekzos.- Bernama