Azmin nasihat penduduk tanah rizab pindah

Azmin meninjau tapak kejadian.
Azmin meninjau tapak kejadian.
A
A
A

GOMBAK - Menteri Hal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menasihatkan penduduk yang tinggal atas rizab tanah di Gombak Utara di sini untuk berpindah bagi memberikan laluan kepada kerajaan menjalankan projek pelebaran jalan dan sungai.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, beliau meminta Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim dan ADUN Gombak Setia, Hilman Idham membincangkan kaedah penyelesaian terbaik dengan kerajaan negeri serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) .

Menurutnya, ia termasuk penempatan baharu rumah mampu milik dan kos rendah yang mampu dibiayai penduduk yang kebanyakannya dalam kalangan berpendapatan rendah.

"Saya bersyukur tiada kemalangan jiwa dalam tragedi ini (ribut, pokok tumbang) tapi saya nasihatkan kepada penduduk yang membina rumah di tebing sungai berpindah kerana berstatus rizab sungai dan jalan yang termasuk dalam perancangan kerajaan untuk naik taraf infrastruktur melebar jalan serta mendalamkan sungai.

"Sekiranya pengurusan ini tidak dilakukan secara baik saya bimbang kejadian lebuh buruk mungkin akan berlaku seperti tanah runtuh, banjir kilat yang akan memberikan kesan kepada kampung sekitar Gombak Utara," katanya sewaktu meninjau pusat pemindahan sementara Dewan Orang Asli Batu 12 menempatkan 89 mangsa melibatkan 21 rumah.

Azmin bertemu salah salah seorang mangsa
Azmin bertemu salah salah seorang mangsa

Katanya, beliau akan menghubungi PKNS untuk penempatan kepada mangsa terjejas sebelum pemindahan keluarga-keluarga lain yang tinggal di tebing sungai secara berperingkat.

Artikel Berkaitan:

"Perancangan pembinaan rumah mampu milik di kawasan berdekatan ada seperti di Kampung Nakhoda namun kalau nak bina sekarang akan mengambil masa yang lama untuk siap sedangkan kita mahu penyelesaian segera kepada mangsa.

"Saya cuba dapatkan unit-unit berdekatan di kawasan sini, jika ada keperluan baiki dan penyelenggaraan kita akan lakukan untuk meletakkan 21 keluarga terlebih dahulu selebihnya akan dibincangkan bagi memudahkan urusan persekolahan dan lain-lain," katanya.

Azmin mendapatkan maklumat semasa berhubung kejadian daripada Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Datuk Juhari Ahmad.
Azmin mendapatkan maklumat semasa berhubung kejadian daripada Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Datuk Juhari Ahmad.

Katanya, beliau bersimpati dengan penduduk dalam masa sama kecewa dengan pihak yang mengambil kesempatan membina rumah atas tebing sungai dan disewakan kepada penduduk.

"Penduduk tidak berkemampuan tapi perlu membayar sewa antara RM300 hingga RM400 untuk tinggal di rumah berisiko sedangkan jika tinggal di rumah mampu milik bayarannya hanya RM124 sebulan dan keselamatan mereka lebih terjamin.

"Saya dah arahkan pejabat tanah untuk mengenalpasti pihak yang bina rumah atas rizab dan menyewakannya kepada pihak ketiga untuk diambil tindakan. Perbuatan itu tidak bertanggungjawab kerana mengaut keuntungan dan ancam nyawa orang lain," katanya.