Pencipta kandungan perlu lebih hati-hati: Raja Muda Kedah

ALOR SETAR – Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah semua pihak khususnya pencipta kandungan dan pemengaruh media sosial berhati-hati sebelum menerbitkan sebarang kandungan untuk tatapan pengikut masing-masing.
Tengku Sarafudin menasihatkan supaya tidak mencipta kandungan yang tidak sahih fakta dan berunsur fitnah kerana perpecahan dalam kalangan masyarakat hanya akan merugikan semua pihak.
Baginda mengingatkan kandungan yang dikongsi berupaya menghiburkan dan meluaskan pengetahuan penonton.
“Jadi amat merugikan sekiranya manfaat yang ternyata wujud,dikorbankan demi kandungan tidak sahih yang sengaja dicipta untuk mengganggu perhubungan sesama rakyat.
“Negara kita amnya dan negeri Kedah khususnya mempunyai rakyat yang berbilang kaum. Demi menjamin perpaduan kaum, kita haruslah menjulang tinggi nilai kebersamaan dan persefahaman antara satu sama lain,” titah baginda.
Baginda bertitah sedemikian pada Majlis Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran di Balairung Seri, Istana Anak Bukit,di sini.
Baginda bertitah elakkan perselisihan faham dan pertelingkahan antara kaum supaya tidak berlaku perpecahan walaupun ada pihak yang sengaja mengapi-apikan isu perkauman.
Raja Muda Kedah turut bertitah supaya segala ancaman ini ditepis dengan bijaksana agar keharmonian kaum terus terpelihara dan negeri Kedah terus menjadi bumi bertuah yang menjamin keamanan dan muafakat untuk semua.
“Dalam era kebangkitan media sosial pada hari ini, senario dan cabaran memupuk semangat perpaduan jauh berbeza berbanding dahulu.
“Kadangkala dengan berita yang tidak sahih dan berunsur fitnah boleh membawa kepada tercetusnya perbalahan yang akhirnya mengguris kesejahteraan dan menyebabkan ketegangan dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, baginda berpesan semua pihak khususnya pencipta kandungan dan pemengaruh media sosial berhati-hati sebelum menerbitkan sebarang kandungan untuk tatapan pengikut masing-masing.
Sebelum itu, Tengku Sarafudin dan seluruh ahli kerabat Diraja Kedah melahirkan rasa bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya jua, maka dapatlah baginda, ahli kerabat Diraja Kedah serta seluruh rakyat jelata bersama-sama menyambut Hari Ulang Tahun Keputeraan Keputeraan ke-80 Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.Raja Muda Kedah bertitah bahawa baginda dan seluruh ahli Kerabat Diraja Kedah menyembahkan ucapan taat setia yang tidak berbelah bahagi ke hadapan Sultan Sallehuddin selaku Sultan Kedah yang Ke-29.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

