Pafa nafi tidak sambung kontrak tiga pemain import

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berucap selepas mengesahkan perlantikannya selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) selepas dipersetujui sebulat suara oleh anggota gabungan badan induk itu dalam kongres luar biasa yang diadakan di Hotel Impiana. - Foto Bernama
Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berucap selepas mengesahkan perlantikannya selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) selepas dipersetujui sebulat suara oleh anggota gabungan badan induk itu dalam kongres luar biasa yang diadakan di Hotel Impiana. - Foto Bernama
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) yang baharu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan tiga pemain import pasukan 'The Bos Gaurus' tidak akan disambung kontrak pada musim akan datang.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar berkata tiga pemain import iaitu Wander Luiz, Gilmar Da Silva Filho dan Leandro Dos Santos Oliviera akan dikekalkan bagi menghadapi musim 2019.

"Tiga pemain import ini akan dikekalkan dan khabar angin yang tersebar di media sosial tidak benar sama sekali,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Berkhatan anjuran Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun yang disertai 20 kanak-kanak pelbagai peringkat usia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai khabar angin yang tersebar melalui media sosial Facebook sejak semalam berhubung tiga pemain kelahiran Brazil tidak akan disambung kontrak sekali gus pasukan Perak akan mencari tiga pemain import yang baharu.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata beliau tidak mempunyai masalah menggalas jawatan tersebut dan pada masa sama turut menjalankan tugas sebagai menteri besar.

"Saya yakin jawatan (Presiden Pafa) ini, walaupun ia satu tanggungjawab yang berat tidak akan memberi masalah kepada saya dalam mentadbir kerajaan negeri kerana setiap orang dalam Pafa mempunyai peranan masing-masing untuk mengemudi Pafa pada musim depan.

"Saya selaku presiden lebih kepada untuk menentukan dasar dan juga memastikan tajaan dapat dipertingkatkan supaya kita dapat menjaga pasukan dengan lebih baik serta memastikan momentum kejayaan Perak dapat dikekalkan pada musim hadapan," katanya.

Kongres luar biasa Pafa malam tadi sebulat suara secara rasmi melantik Ahmad Faizal sebagai presiden sementara Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Zainal Azman Abu Seman sebagai timbalan presiden persatuan itu bagi menggantikan Datuk Adly Shah Ahmad Tah yang dilantik selaku pengurus skuad The Bos Gaurus. - Bernama.

Artikel Berkaitan: