Lega tak perlu tempuh kesesakan di Tambak Johor

Penumpang menunggu di JB Sentral untuk menaiki tren Shuttle Tebrau yang mula beroperasi semula pada Ahad. (Gambar kecil: Taranjet Singh, Zainal Zasuri)
Penumpang menunggu di JB Sentral untuk menaiki tren Shuttle Tebrau yang mula beroperasi semula pada Ahad. (Gambar kecil: Taranjet Singh, Zainal Zasuri)
A
A
A

JOHOR BAHRU- Pengoperasian semula tren Shuttle Tebrau dari Stesen JB Sentral di sini ke Stesen Woodlands, Singapura pada Ahad memberi manfaat kepada rakyat negara ini yang berulang alik mencari rezeki di seberang tambak.

Ini berikutan terdapat 31 perjalanan disediakan antara kedua-dua laluan bermula seawal jam 5 pagi dan berakhir pada 11.45 malam.

Harga tiket bagi perjalanan dari JB Sentral ke Woodlands adalah RM5 seorang, manakala dari Woodlands ke JB Sentral adalah SG$5 (RM15.86) seorang.

P Yogheeta, 39, yang bekerja sebagai pengurus bangunan di Singapura gembira apabila mengetahui tren Shuttle Tebrau memulakan operasi selepas digantung sejak hampir dua tahun lalu ekoran pandemik Covid-19 dan penutupan sempadan antarabangsa.

Dia yang sudah lima tahun bekerja di Singapura berkata, tren terbabit akan memudahkan perjalanannya setiap hari ke tempat kerja tanpa perlu berdepan kesesakan di Tambak Johor.

"Apabila diumumkan tren Shuttle Tebrau akan memulakan perkhidmatannya, saya cukup gembira kerana sebelum tren digantung perkhidmatannya, saya kerap menaiki tren untuk ke Woodlands.

"Saya segera menempah tiket secara dalam talian pada hari pertama tempahan tiket dibuka pada 13 Jun. Memang berbaloi dan memudahkan saya untuk ke tempat kerja," katanya.

Taranjet Singh, 33, yang bekerja sebagai doktor di Singapura berkata, perkhidmatan tren terbabit akan memudahkan lagi urusan rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura setiap hari.

"Tren Shuttle Tebrau yang memulakan operasinya hari ini, memang dinantikan mereka yang berulang- alik bekerja di Singapura.

"Selepas sempadan negara dibuka pada 1 April lalu, berlaku kesesakan di Tambak Johor memandangkan jumlah kenderaan terutama lori semakin bertambah untuk memasuki Singapura," katanya.

Bagi Zainal Zasuri, 37, pula memilih tren perkhidmatan Shutle Tebrau kerana perjalanan ke Stesen Woodlands dari JB Sentral hanya sekitar lima minit.

"Memang cepat dan mudah sebab itu saya pilih menaiki tren ini bersama isteri Noraini Ahmad, 36, dan anak perempuan berusia lima tahun pulang ke Singapura hari ini.

"Saya bersama isteri dan anak memang kerap datang ke Johor kerana saya berasal dari Johor manakala isteri pula orang Singapura," katanya yang bekerja sebagai juruteknik di Singapura.