[VIDEO] Perkhidmatan tren JB-Singapura beroperasi semula

Ka Siong (kiri) dan Onn Hafiz (tengah) memberi cenderamata kepada penumpang tren Shuttle Tebrau pada Ahad.
Ka Siong (kiri) dan Onn Hafiz (tengah) memberi cenderamata kepada penumpang tren Shuttle Tebrau pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau dari Stesen JB Sentral, Johor Bahru ke Stesen Woodlands, Singapura mula beroperasi pada Ahad selepas lebih dua tahun dihentikan akibat pandemik Covid-19 dan penutupan sempadan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, dijangkakan seramai 7,000 penumpang sehari akan menggunakan perkhidmatan yang dikendalikan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu.

"Setakat Jumaat lalu, sebanyak 68,070 tiket telah dijual dengan penjualan tiket yang lebih awal ini, ia dapat membantu pengguna merancang perjalanan mereka khususnya rakyat Johor yang berulang-alik bekerja di Singapura.

"Setiap hari ada 31 trip atau perjalanan Shuttle Tebrau yang bermula jam 5 pagi sehingga 11.45 malam, dengan 13 perjalanan dari Malaysia-Singapura dan 18 perjalanan dari Singapura-Malaysia.

"Perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau ini mampu menampung kapasiti maksimum seramai 320 penumpang setiap trip atau perjalanan dan dijangkakan seramai 7,000 penumpang sehari akan menggunakan perkhidmatan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelepasan perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau di JB Sentral, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi KTMB, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, pengeoperasian semula perkhidnatan Tren Shuttle Tebrau memberi manfaat kepada ribuan rakyat Malaysia yang berulang alik bekerja ke republik itu setiap hari.

"Hari ini adalah detik bersejarah buat rakyat Johor, kerana perkhidmatan Shuttle Tebrau beroperasi semula selepas dua tahun dihentikan.

Justeru, saya menjangkakan pertambahan pelancong dari Singapura ke Malaysia melalui Johor sekaligus merancakkan ekonomi negeri ini.

"Tren ini juga dapat mengurangkan kadar kesesakan trafik di Tambak Johor dan Kompleks Imigresen,Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) terutama pada waktu puncak," katanya.