Tang Jie-Valeree perlu lebih masa mantapkan gandingan

Chen Tang Jie-Valeree Siow. - Foto BAM
Chen Tang Jie-Valeree Siow. - Foto BAM
A
A
A

BEREGU campuran baharu negara, Chen Tang Jie-Valeree Siow memerlukan masa untuk membentuk gandingan mantap selepas terkandas di suku akhir Terbuka Indonesia, pada Jumaat.

Pasangan yang berganding sejak minggu lalu tersingkir selepas tumpas 12-21 dan 14-21 kepada beregu ranking keempat dunia dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping di Stadium Istora Senayan.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, pasangan itu berlatih bersama hanya dua minggu sebelum tumpas pada pusingan pertama kepada gandingan tuan rumah, Rivaldy Rinov-Mentari Pitha Haningtyas di Indonesia Masters, minggu lepas.

Selain itu, beliau berpendapat beregu negara tersebut terlalu menghormati juara Olimpik Tokyo 2020 berkenaan pada set pertama sebelum pulih pada set kedua.

Rexy, pemenang emas acara beregu lelaki pada Sukan Olimpik Altanta 1996, berkata barisan kejurulatihan mempunyai keyakinan terhadap potensi gandingan muda itu untuk menjadi handalan dunia.

"Sebelum ini, (bekas pasangan Tan Jie) Peck Yen Wei bermain sebagai ketua, tetapi kini Tang Jie telah menerima bahawa dia perlu memainkan peranan utama dan bertindak sebagai ‘abang besar’ kepada Valeree. Mereka telah membuktikan pada Indonesia Masters dan Terbuka Indonesia.

"Barisan jurulatih beregu telah menganalisis setiap pemain dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk perwatakan, kemahiran dan kemampuan sebelum memutuskan secara kolektif pasangan baharu mereka,” katanya menerusi catatan di Facebook BAM.

Rexy menambah bahawa semua gandingan termasuk Tang Jie-Valeree akan dipantau dan dinilai dengan teliti oleh barisan kejurulatihan.

Perubahan dalam bahagian beregu BAM baru-baru ini menyaksikan gandingan Tan Jie-Yen Wei yang memenangi pingat emas Sukan SEA Hanoi 2021 bulan lepas, dipisahkan apabila Tan Jie bergandingan dengan Valeree manakala Yen Wei kini bermain bersama Choong Hon Jian.

Valeree sebelum ini pernah digandingkan dengan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon dan Low Yeen Yuan. - Bernama